Oleh : Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohamad Izrul Abdul Jabar
BINTULU, 28 Oktober - Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) membangunkan Bambusetum atau lebih dikenali sebagai Taman Buluh bagi membantu meningkatkan hasil bahan mentah dalam industri perkayuan negeri Sarawak.
Pensyarah Jabatan Sains Perhutanan UPMKB, Prof Madya Dr Ong Kian Huat berkata projek Bambusetum ini selaras dengan aspirasi kerajaan Sarawak untuk mempromosikan buluh sebagai salah satu bahan yang membantu meningkatkan ekonomi industri di negeri ini.
"Kerajaan Sarawak mengenal pasti empat produk utama hasil pengeluaran buluh untuk kegunaan bersama iaitu bagi tujuan pemakanan manusia dan haiwan, arang, kraf tangan dan industri kejuruteraan
"Selain itu, kita juga ingin meneroka industri baharu yang berasaskan buluh bagi mempelbagaikan lagi keperluan dan kegunaan buluh seterusnya menjana ekonomi," katanya.
Projek Bambusetum UPMKB membabitkan keluasan kawasan lima hektar hasil kerjasama dengan kerajaan Sarawak melalui agensi Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) bermula 2021.
Prof Madya Dr Ong Kian Huat berkata sehingga kini hampir 600 pokok buluh telah ditanam melibatkan 13 spesies buluh dalam dan luar negara serta akan terus menambah spesies buluh yang sedang dikumpulkan.
"Apabila industri memerlukan mana-mana spesies buluh yang kita ada, mereka boleh datang ke Bambusetum di UPMKB untuk mendapatkan bahan tanaman pada masa akan datang.
"Orang ramai yang berminat dan ingin mengetahui kegunaan spesies buluh boleh datang ke sini dan sekarang kita juga sedang membina laluan di dalam kawasan ini sebagai sebuah taman dan membantu pengunjung untuk menimba ilmu," katanya. - UPM