Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: Mohammad Izrul Abdul Jabar
SERDANG, 8 April – Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, menerima kunjungan hormat Ketua Eksekutif Malaysian Institute of Defence and Security (MiDAS), Leftenan Jeneral Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi Sabri, di Bangunan Canselori Putra bagi membincangkan kerjasama strategik dalam bidang keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI).
Kunjungan ini membuka peluang untuk memperkukuh jaringan strategik antara kedua-dua pihak, selaras dengan aspirasi UPM untuk memperluas impak penyelidikan bertaraf global.
Dato’ Prof. Ir. Dr. Ahmad Farhan berkata, UPM mempunyai pasukan penyelidik yang kukuh dalam bidang pemodelan dan pembangunan prototaip, namun memerlukan rakan strategik untuk memaksimumkan potensi inovasi tersebut bagi manfaat industri dan masyarakat.
"Walaupun kami telah menjalin kerjasama dengan pelbagai agensi dalam bidang lain, kami belum mempunyai kerjasama dalam bidang keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI).
Oleh itu, kolaborasi ini amat penting untuk memperluas kepakaran kami dan menghasilkan produk yang dapat memberi impak besar kepada masyarakat," katanya.
Sementara itu, Leftenan Jeneral Dato’ Seri Haji Muhammad Huzaimi berkata, MiDAS berhasrat untuk memperluas kerjasama dengan institusi pendidikan tinggi.
"MiDAS telah bekerjasama dengan beberapa universiti lain seperti UPNM, UKM, dan UM, dan kini berhasrat untuk berkolaborasi dengan UPM bagi memperkukuh penyelidikan dan inovasi dalam bidang keselamatan siber dan AI," katanya yang juga alumni UPM.
Kunjungan ini dianggap sebagai langkah permulaan dalam membina hubungan strategik antara kedua-dua pihak yang dijangka diteruskan dengan lebih mendalam pada masa hadapan.
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi, Timbalan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), Prof. Madya Dr. Mohd Amiruddin Abd Rahman, wakil Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Fakulti Kejuruteraan, Prof. Dr. Kamarul Arifin Ahmad, dan Penyelaras Penyelidikan Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa, Dr. Mohd Faisal Abdul Hamid.