Oleh: Nurin Amyra Amir Ahmad, Wartawan Pelatih Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), UPM
Foto Oleh: MD Nasir Hussin
SERDANG, 8 April – Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), Universiti Putra Malaysia (UPM) mengukuhkan standard pendidikan Bahasa Melayu dengan menganjurkan Kongres Pelestarian Standard Bahasa Melayu Sekolah (KoPeSta 2.0) bertemakan "Inovasi Bahasa Melayu Pencetus Revolusi Minda Baharu", dengan kerjasama Pertubuhan Tulir Malaysia (PTM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
KoPeSta 2.0 menjadi platform inovatif untuk memperkukuh Pengajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) Bahasa Melayu dengan memberi tumpuan kepada tiga fokus utama: inovasi PdPc Bahasa Melayu, pemantapan pengajaran digital, dan penerapan teknologi AI dalam pendidikan.
Dekan FBMK, Prof. Madya Dr. Hazlina Abdul Halim berkata program ini memberi penekanan kepada isu tatabahasa dalam pengajaran dan pemudahcaraan (PdPc) dan mendorong inovasi guru dalam mendepani revolusi pendidikan.
“Kita bersatu hati di bawah aspirasi yang sama, iaitu merealisasikan budaya inovasi dalam kalangan guru untuk memartabatkan bahasa kebangsaan,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Program merangkap Presiden PTM, Prof. Dr. Vijayaletchumy Subramaniam berkata, hampir 200 guru dari Wilayah Persekutuan Putrajaya, Melaka dan Negeri Sembilan menyertai program tersebut.
“KoPeSta 2.0 menghubungkan pendidik dari pelbagai sekolah, termasuk Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Menengah, untuk memanfaatkan inovasi dalam PdPc Bahasa Melayu,” katanya.
Guru Bahasa Melayu SK Felda Pasir Besar, Atiqah Qurratu Ain, berkata, penyertaan dalam KoPeSta 2.0 membuka peluang untuk memahami penggunaan AI dalam membina aktiviti PdPc yang bersesuaian dengan aras murid, selain mengenali platform Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DeLIMa) yang membantu guru dalam pengajaran.
“Saya berharap dapat menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk menjadikan PdPc lebih menarik dan meningkatkan kefahaman murid selepas ini,” katanya.
Guru Bahasa Melayu SJKC Notre Dame, Ng Xue Jing, pula berkata, pendedahan kepada teknologi AI menerusi KoPeSta 2.0 dapat menjadikan PdPc Bahasa Melayu lebih menyeronokkan dan berkesan, khususnya untuk murid yang kurang menggunakan Bahasa Melayu dalam kehidupan seharian.
“Saya berharap penggunaan AI dapat meningkatkan keberkesanan PdPc Bahasa Melayu pada masa hadapan,” katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Datuk Haji Azman Haji Adnan serta Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, Abang Haliman Abang Julai.