
Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari
TANJONG KARANG, 13 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) menganjurkan Program Karnival Putra @ Sawah Sempadan, Tanjong Karang sebagai usaha memperkukuh hubungan universiti dan komuniti setempat dalam memacu pembangunan berasaskan ilmu.
Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), UPM, Profesor Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin berkata penganjuran program berkenaan mencerminkan komitmen berterusan universiti dalam memperkasakan pemindahan dan transformasi ilmu kepada masyarakat.
“Program ini bertujuan mengangkat potensi komuniti setempat melalui penglibatan aktif pelajar dan staf universiti, selain menghimpunkan pelbagai inisiatif kolaboratif melibatkan fakulti, pelajar, agensi serta komuniti desa yang memberi manfaat bersama,” katanya.
Pegawai Daerah Kuala Selangor, Mohd Raiz Radzuan berkata penglibatan UPM dalam program tersebut melambangkan peranan institusi pendidikan tinggi sebagai rakan strategik dalam pembangunan masyarakat.

“Saya menghargai usaha universiti yang turun padang bersama komuniti bagi memastikan kesejahteraan masyarakat setempat dan saya mengalu-alukan kerjasama strategik yang berterusan demi memperkasa pembangunan komuniti,” katanya.
Pelajar Tahun Dua, Bacelor Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) Dengan Kepujian, Fakulti Pengajian Pendidikan, UPM, Siti Khairunisya Kamaruzzaman, program tersebut memberi pengalaman bermakna kerana merupakan penglibatan pertamanya dalam aktiviti berasaskan komuniti luar kampus.

“Sebelum ini saya hanya terlibat dengan program dalam universiti dan program ini memberi peluang kepada saya sebagai pelajar untuk mendekati komuniti serta memahami keperluan sebenar masyarakat,” katanya.
Pelajar Tahun Pertama, Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu Dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, UPM, Muhamad Muqhairi Jeffizain pula berkata program tersebut membuka ruang pembelajaran di luar bilik kuliah.
“Saya memperoleh ilmu baharu serta dapat memahami budaya dan tradisi masyarakat kampung di sini melalui pelbagai aktiviti yang disertai. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Program Karnival Putra @ Sawah Sempadan dilaksanakan selaras dengan inisiatif Program Angkat MADANI yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 dengan matlamat memperkasa komuniti desa secara holistik. Melalui pendekatan ini, universiti berperanan sebagai rakan strategik jangka panjang dalam membina model pembangunan desa yang mampan dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.






