Oleh: Azman Zakaria
SERDANG, 8 Jan: Graduan perlu cemerlang secara holistik dan seimbang dalam segenap aspek, dan bukan semata-mata cemerlang dalam akademik sahaja, kata Pro-Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin Syed Salim.
Katanya, graduan yang mempunyai ilmu, akhlak, tingkah laku, set minda dan adab, amat penting ke arah melahirkan insan yang luhur dan bermaruah.
Beliau berkata, ia bertepatan dengan konsep Ihsan sebagai tonggak kecemerlangan UPM, yang menekankan soal kualiti, kesempurnaan dan kecemerlangan.
“Saya percaya, jika universiti ini dapat melahirkan graduan sebagai insan, dan bukan berpaksikan modal insan semata-mata, inilah sumbangan terbesar UPM kepada usaha mentransformasi negara,” katanya ketika berucap pada Sesi 1, Majlis Konvokesyen ke-44 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM di sini, hari ini.
Beliau menyampaikan Ijazah Doktor Falsafah (Ph.D), Sarjana (master), Bacelor dan Diploma kepada 945 graduan pada Sesi 1 itu.
Beliau juga berkata, graduan perlu menjadikan kejayaan mereka pada hari ini sebagai landasan untuk memberikan sumbangan bermakna kepada pembentukan masyarakat dan pembinaan peradaban manusia yang lebih berkualiti, berintegriti dan bersinergi dengan alam persekitaran.
Katanya, mereka perlu meneruskan usaha meningkatkan pengetahun dan kemahiran diri kerana mendapat pekerjaan bukannya bermakna proses pembelajaran terhenti.
Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Syed Jalaludin juga berharap graduan tidak melupakan pengorbanan ibu bapa dan keluarga yang menjadi tonggak kejayaan mereka.
“Tanpa mereka, siapalah kita. Saya percaya, kejayaan pada hari ini boleh menjadi pemangkin kepada para graduan untuk memberikan sumbangan yang bermakna kepada keluarga, masyarakat dan negara,” katanya.
Beliau juga berkata, UPM dengan tagline - Pertanian, Inovasi, Kehidupan – akan terus bergerak secara aktif untuk mentransformasikan masyarakat melalui aktiviti pemindahan ilmu yang berteraskan penyelesaian masalah setempat dan keperluan kehidupan ahli komuniti.
Katanya. agenda memasyarakatkan universiti atau memperkasakan masyarakat melalui pelbagai sumbangan oleh warga universiti akan terus menjadi agenda penting pada masa hadapan.
“UPM berharap melalui transformasi akademik ini, kita mampu untuk melahirkan graduan yang memiliki ilmu dan kemahiran yang diperlukan untuk menjayakan matlamat UPM melahirkan graduan yang berkualiti serta berdaya saing,” katanya. – UPM