Oleh Dr. Azlina Mohd Sera’a
Valladolid (SEPANYOL), 1 Sept - Bahagian Kemahiran Bahasa Melayu dan Bahasa Global, Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC), Universiti Putra Malaysia (UPM) menjalankan program mobiliti ‘Jelajah Bahasa Sepanyol UPM-Valladolid 2019’ di Fundación de la Lengua y Cultura Española, Valladolid, Sepanyol.
Program itu yang diketuai pensyarah bahasa Sepanyol, Dr. Azlina Mohd Sera’ai disertai empat pelajar UPM yang mengambil subjek kemahiran bahasa Sepanyol di CALC UPM.
CALC berbangga kerana Fundación de la Lengua y Cultura Española dengan kerjasama negeri Castilla dan León telah menganugerahkan biasiswa pengajian kepada kesemua pelajar itu bagi mengikuti kelas bahasa Sepanyol selama 12 hari.
Program itu juga memperoleh penajaaan dari Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) dan Pusat Antarabangsa PUTRA UPM.
Antara objektif program adalah untuk meningkatkan kemahiran dan keyakinan berkomunikasi pelajar dalam bahasa Sepanyol dengan masyarakat setempat.. Pelajar juga dapat menimba pengetahuan baharu dan pemahaman yang mendalam mengenai bahasa dan budaya masyarakat Sepanyol.
Pelbagai aktiviti dilaksanakan seperti pembelajaran interaktif di dalam kelas, sesi makan churros, lawatan ke beberapa tempat menarik dan penting di bandar Valladolid seperti Muzium Rumah Cervantes, Muzium Cristopher Colombus, Muzium Valladolid, Plaza Mayor, Pasar Val, Pasar Marquesina dan Plaza de Torros.
Selain itu, beberapa siri lawatan ke bandar-bandar utama dan bersejarah seperti Madrid (Puerta del Sol, Istana Diraja, Muzium Prado, Masjid Central Madrid, Gran Vía, Stadium Santiago Bernabéu), Cordoba (Mezquita of Cordoba, Alcazar de los Cristianos, Puente Romano, Menara Calahorra, Calleja de las Flores, Madinat al-Zahra) dan Salamanca (University of Salamanca, Plaza Mayor, Plaza del Corrillo, Casa de las Conchas, Cierecía, Calle Libreros, Iglesia dan Muzim San Esteban, Plaza dan Istana Anaya, Catedral Nueva y Vieja, Cueva de Salamanca) turut dijalankan.
Secara keseluruhannya, program itu berjaya meningkatkan keyakinan dan kebolehan berkomunikasi pelajar dengan masyarakat setempat walaupun mereka hanya berada selama 12 hari di Sepanyol.
Amat membanggakan CALC kerana, di akhir program ini, dua pelajar dianugerahkan sijil tamat bahasa tahap A2 dan dua orang lagi memperoleh sijil tamat bahasa tahap A1. – UPM