Oleh: Faizatul Najuwa Selamat
SERDANG, 12 Dis – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Kelab Penyayang UPM (KPUPM) sesi 2023/2024 baru-baru ini telah menyertai Sidang Kemuncak Kelab Penyayang (SUMMIT Kelab Penyayang) 2023 yang dianjurkan oleh Yayasan Budi Penyayang Malaysia (PENYAYANG) untuk mengukuhkan kepimpinan belia dalam bidang kesukarelawanan.
Presiden, KPUPM sesi 2023/2024, Muhammad Daniel Fareez Abu Bakar berkata, program ini melibatkan perkongsian ilmu kesukarelawanan secara akademik serta praktis daripada para penceramah yang berpengalaman, bertujuan untuk memantapkan pengurusan dan perancangan aktiviti bagi Kelab Penyayang seluruh institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia.
“Kelab Penyayang merupakan badan mahasiswa yang mampu membentuk sahsiah mahasiswa dalam mendepani cabaran mendatang untuk menjadi lebih peka dan prihatin terhadap keadaan sekeliling serta isu sosial.
“Aktiviti kesukarelawanan menerusi Kelab Penyayang dapat memupuk nilai kasih sayang dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat amnya, dan mahasiswa khususnya apabila kelompok individu pelbagai latar belakang bekerjasama untuk mencapai tujuan yang mulia,” katanya.
Antara pengisian menarik program ialah perkongsian menerusi slot Jaguh Sukarelawan: Siapa Dia?, slot Kemahiran Menghadapi Kecemasan, slot Berkhidmat Untuk Negara: Jiwa Ahli Kelab Penyayang, dan slot Sekilas Pandangan Khidmat Kebajikan Sosial.
Exco Keusahawanan dan Penajaan, KPUPM sesi 2023/2024, Neerashini Melisa Muniandy berkata, pelbagai input dapat digarap oleh peserta, khususnya dalam perancangan dan etika untuk memberikan khidmat kepada komuniti serta realiti sukarelawan dalam pembangunan negara.
“Penglibatan mahasiswa dalam aktiviti kesukarelawanan adalah sangat penting kerana mahasiswa merupakan aset negara yang seharusnya dilengkapkan dengan peranan dalam mengenali erti kemanusiaan.
“Kita tidak boleh membiarkan golongan yang memerlukan seperti Orang Kurang Upaya (OKU), warga emas dan gelandangan terus kekal berada dalam kesukaran kerana sebagai bangsa Malaysia, kita punya nilai kesamarataan,” katanya.
Dalam pada itu, majlis pelancaran Pertandingan Piala Sukarelawan Menteri Pendidikan Malaysia 2024 telah berlangsung sebagai cetusan ilham oleh PENYAYANG untuk menyemarakkan lagi semangat kesukarelawanan dalam kalangan belia, khususnya ahli Kelab Penyayang sendiri.
Turut hadir, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (KPPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Prof. Dr. Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif, PENYAYANG, Leela Mohd Ali.