Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
GOMBAK, 1 Mei - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Fakulti Pertanian (FP) terus mengukuhkan sokongan dalam bidang pertanian melalui program AgroSTEM@School bersama 2,021 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Gombak selain memperkasa daya saing murid dalam subjek berkaitan STEM, di sini, semalam.
Timbalan dekan (Akademik & Hal Ehwal Pelajar) FP UPM, Prof. Madya Dr. Juwaidah Sharifuddin berkata kolaborasi antara universiti dan pelajar sekolah ini memperkenalkan pelajar terhadap konsep-konsep penting bidang pertanian yang melibatkan teknologi, kejuruteraan, dan matematik.
“Bidang pertanian bukanlah semata-mata menjadi buruh namun skopnya luas seperti bidang pertanian moden yang menggunakan teknologi, saintis pertanian, perniagaan pertanian dan sebagainya.
“Pendedahan STEM dalam bidang pertanian memberi peluang untuk pelajar mengembangkan kebolehan inovatif dan kreativiti dalam mencari penyelesaian terhadap cabaran-cabaran dalam pertanian,” katanya.
Dalam pada itu, penanaman pokok konjac juga turut dilaksanakan dan pemantauan berkala akan dilakukan oleh pelajar Kelab Hortikultur FP UPM bersama pelajar kelab STEM sekolah.
Pengarah program, Dr Juju Nakasha Jaafar berkata sebanyak 1000 pokok konjac disasarkan untuk ditanam di sekolah bagi menghasilkan produk yang memberi manfaat sebagai jaminan makanan serta memperkukuhkan lagi konsep AgroSTEM di kalangan pelajar.
Program AgroSTEM@School ini juga mendapat kerjasama Ladang Konjak Sdn. Bhd. dan TM One. -UPM