Oleh: Noor Eszereen Juferi
SERDANG, 22 Julai – Fakulti Kejuruteraan (FK), Universiti Putra Malaysia (UPM) melancarkan kereta lumba formula dan mewakili Malaysia dalam Pertandingan Perlumbaan Formula SAE Jepun 2024 (FSAEJ 2024) pada September ini di Tokoname City, Aichi, Jepun.
Menariknya, kereta lumba formula untuk perlumbaan tersebut yang dibangunkan sepenuhnya oleh pelajar dari pasukan Putra Motorsport Team (PMT), FK, UPM.
Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata penglibatan pelajar UPM dalam perlumbaan antarabangsa ini menjadi platform untuk menggilap bakat pelajar dengan kemahiran terkini di peringkat antarabangsa.
“Para pelajar harus sentiasa bersedia mendepani cabaran yang akan datang dan perlu berani untuk berdaya kreatif dan meneroka ilmu serta inovasi baharu agar kepakaran kekal relevan untuk diaplikasikan di industri kelak,” katanya.
Ketua Penasihat PMT, FK, UPM, Prof. Madya Dr. Abdul Aziz Hairuddin berharap melalui pertandingan ini pelajar akan memperoleh ilmu tambahan dan mengembangkan bakat dari masa ke semasa untuk dimanfaatkan di masa depan.
“Pasukan ini telah dijadikan flagship kepada fakulti ini yang memiliki kepakaran dalam bidang automotif di UPM serta telah menjayakan pelbagai aktiviti berkaitan sukan pemotoran di dalam dan luar negara,” katanya.
Selain itu, pasukan tersebut terdiri daripada 44 pelajar bidang Kejuruteraan Mekanikal dan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta dibantu oleh 13 penasihat teknikal dari kalangan staf.
Kereta lumba UPM, Putra 1 telah dibangunkan dengan menggunakan enjin dari motorsikal Yamaha MT07 yang mempunyai kapasiti 689 cc menghasilkan kuasa sebanyak 75 hp pada 9000 rpm dan daya kilas sebanyak 68 Nm pada 6500 rpm.
Ketua Kumpulan, Chiew Weng Lam, 23, berkata pembangunan kereta formula tersebut melibatkan perancangan yang sangat teliti dan idea tersebut kemudiannya diterjemahkan ke dalam bentuk lukisan berkomputer.
“Kami juga melalui pelbagai siri analisis untuk memastikan kereta tersebut memenuhi standard piawaian yang ditetapkan oleh penganjur dan kesemua proses ini melibatkan kemahiran pelajar dari segi teknikal,serta pengurusan,” katanya.
Tambah beliau, rangka kereta dibangunkan menggunakan keluli kromoly dengan struktur badan kereta dari gentian karbon dengan anggaran berat kereta sekitar 320 kg.
“Proses fabrikasi kemudian dilakukan sehingga kereta selesai dibangunkan serta melibatkan pelbagai peralatan canggih antaranya mesin kimpalan canggih, mesin larik, CNC dan juga mesin pencetak 3D,” katanya.