Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Jurufoto: Muhammad Luqman Ibrahim
SERDANG, 15 Jan – Kumpulan pelajar Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) bersama Fakulti Pengajian Pendidikan (FPP), UPM dengan kerjasama Perpustakaan Sultan Abdul Samad (PSAS), UPM telah menganjurkan Vivarium Festival 2024 (VF24) dengan tema "Reignite Your Natural Wonderland", mendukung usaha pelestarian flora dan fauna.
Melalui VF24, 160 pelajar telah menghasilkan produk vivarium dengan mencipta taman mini di dalam akuarium dan bekas kaca secara kreatif dan inovatif menggunakan tanaman dan ikan hiasan.
Dekan Fakulti Pertanian UPM, Prof. Dr. Loh Teck Chwen berkata, penghasilan produk vivarium mendedahkan pelajar tentang pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar sebagai asas kepada pelestarian ekosistem dan biodiversiti.
"Selain menyemai citra pertanian dalam diri warga UPM, program ini memacu kreativiti dan inovasi pelajar melalui produk vivarium yang dihasilkan dan seterusnya membuka ruang kepada pelajar untuk menceburi bidang usahawan tani," katanya.
Sementara itu, Pensyarah Kanan, Jabatan Sains Tanaman, Fakulti Pertanian, UPM, Dr. Mohd Firdaus Ismail berkata, program ini merupakan alternatif untuk memperkenalkan bidang pertanian kreatif sebagai industri yang bernilai kepada masyarakat, khususnya golongan belia.
"Pertanian lebih daripada sekadar menanam tumbuh-tumbuhan, malah suatu bentuk terapi untuk kesihatan mental.
“Kita bukan sahaja perlu menerajui bidang pertanian konvensional dan pertanian moden, tetapi perlu meneroka bidang pertanian kreatif yang bersifat santai, menarik dan boleh menjadi lubuk keuntungan,” katanya.
Dalam pada itu, VF24 di PSAS, UPM masih dibuka kepada semua warga UPM sehingga 19 Januari ini untuk melihat dan membeli hasil produk kreativiti kumpulan pelajar kursus AGR3101-Botani Pertanian sebagai hiasan rumah yang menarik.