SERDANG, 16 Okt - Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah telah membuat perjumpaan bersama staf di entiti pejabat Naib Canselor yang terdiri daripada Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK), Pusat Jaminan Kualiti (CQA), Bahagian Audit Dalam, Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (PPKKP), Pusat Pengurusan Wakaf, Zakat dan Endowmen (WAZAN) dan Akademi Sukan di Dewan Senat, hari ini.
Menerusi pertemuan ini, Dato’ Prof. Dr. Ahmad Farhan menitipkan pesan agar kesemua entiti dibawahnya dapat bekerja dalam sebuah pasukan yang kuat, saling mengingati antara satu sama lain dan bekerja secara efisyen agar banyak perkara yang memberi manfaat dapat dihasilkan bersama.
Katanya setiap universiti mempunyai kepentingan yang tersendiri namun matlamat setiap pekerja di UPM harus sama dan sentiasa seiring berlandaskan misi dan visi institusi ini agar nama UPM terus unggul di masa hadapan.
Dalam pada itu, beliau juga menyampaikan mesej supaya setiap pekerja mencari kepelbagaian ilmu serta kepakaran lain selain menjalankan peranan dan tanggungjawab utama sebagai staf agar dapat menyumbang lebih banyak kebaikan kepada masyarakat khasnya.