Oleh: Helena Pieary Juman
SERDANG, 30 November- Perjalanan graduan Bacelor Sains Pembangunan Sumber Manusia dengan Kepujian, Rabiatul Adawiyah Fathor Rasi, 25, menuju kecemerlangan tidak mudah.
Beliau yang ditemui selepas Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia ke-48 berkata pernah bekerja sebagai pemandu e-hailing, membuat kerja sambilan di Kenny Rogers dan Farm Fresh UPM bagi meraih pendapatan menampung pengajiannya.
“Sepanjang pengajian, antara cabaran yang saya hadapi ialah kewangan, saya dari keluarga biasa sahaja. Masalah wang adalah masalah yang tidak lari dari hidup saya.
Kedua-dua orang tuanya tidak bekerja, memaksa beliau untuk mengerah tenaga supaya dapat melengkapkan tempoh pengajiannya di UPM.
“Mempunyai 9 adik beradik, memerlukan saya untuk bekerja dengan lebih keras untuk mendapatkan wang perbelanjaan bagi menampung bayaran pengajian di universiti,” katanya.
Bagaimanapun, berbekalkan iltizam yang tinggi segala rintangan tersebut ditolak tepi demi merangkul kejayaan dan merealisasikan cita-citanya. Sebagai pelajar, sudah pasti momen suka dan duka menjadi peneman yang sentiasa mendampingi perjalanan dalam menyelesaikan tempoh pengajian.