Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto: Noor Azreen Awang
SERDANG, 23 Mei - Kajian ‘Nilai Pasaran bagi Perkhidmatan Hutan Terpilih di Semenanjung Malaysia’ yang telah diterajui oleh penerima Anugerah Fellowship Naib Canselor Kategori Perunding Cemerlang (AFNC-KPC 2024), Profesor Dr. Zaiton Samdin, adalah kajian perintis yang julung kali dilaksanakan di negara ini.
Profesor Dr. Zaiton berkata kajian tersebut melibatkan empat komponen utama ekosistem hutan iaitu pengawal seliaan air, penyimpanan karbon, keutamaan biodiversiti dan tarikan ekopelancongan.
“Empat lokasi utama dipilih bagi merealisasikan kajian menyeluruh ini, iaitu Hutan Simpan Ulu Muda di Kedah, Hutan Simpan Belum di Perak, Hutan Simpan Pasir Raja di Terengganu, dan Hutan Simpan Endau di Pahang,” katanya.
Beliau yang juga merupakan Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE) dan Timbalan Pengarah Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), UPM, berkata cabaran utama adalah kekurangan nilai pasaran standard bagi barangan dan perkhidmatan hutan yang menyukarkan pihak seperti Jabatan Perhutanan untuk meletakkan nilai sewajarnya terhadap khazanah alam ini.
“Hutan negara kita ini sangat cantik sebenarnya tetapi kita tidak meletakkan nilai pasaran yang sepatutnya. Dengan adanya nilai ini barulah kita ada standard yang boleh diguna pakai termasuk untuk tujuan pelaburan,” katanya.
Dalam pada itu, Prof. Dr. Zaiton telah mengetuai lebih daripada 13 projek perundingan yang melibatkan agensi Kerajaan dan swasta antaranya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Jabatan Perhutanan Negeri dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).
Kajian beliau turut menyumbang secara langsung kepada usaha penyemakan Kaedah-kaedah Hutan dan pelaksanaan mekanisme Payment for Ecosystem Services (PES) oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia merupakan satu langkah penting dalam memastikan kelestarian hutan negara.
Prof. Dr. Zaiton turut berkata, sokongan keluarga dan pasukan penyelidikan pelbagai kepakaran menjadi kunci utama kejayaan beliau memperoleh penanugerahan ini untuk kali kedua.
“Kekuatan bukan sahaja datang daripada sokongan keluarga malah sebuah projek perundingan banyak bergantung kepada kerja berpasukan dan ini dapat dilihat menerusi kerjasama erat pasukan penyelidik pelbagai kepakaran yang bersama-sama menjayakan setiap fasa projek,” katanya.