Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
SERDANG, 23 Mac - Pengorbanan menjaga ayah yang mempunyai sakit kronik tidak menghalang graduan Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia) untuk menggengam segulung ijazah pada majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) ke-45 hari ini.
Sharifah Zaidah Syed Kamal mengatakan pengorbanan menjaga ayah yang sakit di Kuantan, Pahang adalah pengalaman yang sangat bermakna kepadanya untuk dihadiahkan kepada ibu ayah yang berkorban membesarkannya sejak kecil sehingga sekarang.
“Saya perlu membahagikan masa antara pelajaran, aktiviti kolej dan badan beruniform kerana perlu berulang alik dari Kuantan ke UPM demi menguruskan ayah yang menghidap penyakit kencing manis kronik, darah tinggi dan kanser peti suara.
“Pernah sekali, saya pulang ke kampung sehari sebelum peperiksaan akhir semester untuk menghantar ayah menjalani pembedahan kanser peti suara. Saya membeli tiket bas pada malam itu juga untuk pulang ke UPM kerana ada peperiksaan pada keesokan harinya,”katanya.
Sharifah merupakan tulang belakang kepada keluarga kerana ibu dan kakaknya tidak boleh memandu setelah ayahnya jatuh sakit. Namun, kekuatan inilah satu pembakar semangat buat dirinya untuk menamatkan ijazah dengan cemerlang bagi membalas jasa ibu dan ayahnya.
Walaupun terlalu sibuk menguruskan diri dan keluarga, Sharifah tetap aktif dengan semua program di universiti kerana beliau sangat bijak menbahagikan waktu.
“Ianya sangat sukar buat saya sebagai pelajar dan seorang anak untuk menggalas tanggungjawab. Namun ibu dan ayah adalah sumber kekuatan saya untuk mendapatkan ijazah pada hari ini.
“Terima kasih kepada keluarga saya kerana banyak memberi sokongan sehingga boleh menggengam ijazah di UPM,” katanya.