Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
BINTULU, 4 Nov- Ditimpa ujian kerana mengalami kecederaan patah kaki semasa menjalani latihan industri tidak melemahkan semangat pelajar Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu (UPMKB) ini untuk menamatkan pengajian di peringkat Diploma.
Pelajar Diploma Pertanian, Mohamad Amirul Afzan Amram, 20, perjuangan untuk menamatkan pengajian tetap perlu diteruskan sebagai mahasiswa, walaupun menghadapi kesukaran untuk menyiapkan laporan dan video pembentangan latihan industri kerana kecederaan patah kaki yang dialami akibat tercedera dalam sukan ragbi.
"Disebabkan cedera patah kaki, saya tidak berpeluang menamatkan latihan industri secara fizikal atau bersemuka. Saya bersyukur kerana majikan memahami keadaan saya pada ketika itu dengan memberikan peluang kepada saya untuk menamatkan latihan industri secara dalam talian.
"Majikan membenarkan saya menyiapkan tugasan dan laporan latihan industri dari rumah. Saya sangat sedih kerana kemalangan yang menimpa saya bukan sahaja membataskan penglibatan saya sebagai atlet dalam bidang sukan, tetapi juga menarik peluang saya untuk menimba lebih banyak pengalaman menerusi latihan industri secara fizikal.
Tambah beliau, keluarga dan rakan-rakan merupakan pendorong utama buat dirinya untuk meneruskan perjalanan dalam menamatkan latihan industri sebagai salah satu syarat wajib untuk mendapatkan segulung Diploma.
"Sebagai seorang mahasiswa lebih-lebih lagi dengan kemalangan yang menimpa saya, pernah terdetik untuk berputus asa dan berhenti di separuh jalan, tetapi saya memikirkan keluarga dan rakan-rakan yang selalu bersama dan tidak jemu memberikan semangat kepada saya sepanjang bergelar mahasiswa di UPMKB sehinggalah ke saat ini.
“Saya berasal dari Kelantan dan terpaksa berjauhan daripada keluarga tercinta. Pengajian dan perbelanjaan di sini juga memakan kos yang agak tinggi. Pengorbanan selama bergelar mahasiswa merupakan pembakar semangat untuk saya terus berada di sini dan menamatkan pengajian,” katanya.
Beliau memilih untuk melanjutkan pengajian di UPMKB dalam bidang pertanian kerana graduan Diploma Pertanian mempunyai prospek kerjaya yang cerah dalam sektor awam dan swasta serta dalam bidang penyelidikan dan keusahawanan.
"Golongan muda yang diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian di UPMKB hendaklah menyambut baik peluang tersebut kerana bukan sahaja kita akan memperoleh ilmu dan pengalaman untuk berbudi pada tanah, tetapi kita juga dapat melihat keindahan dan keunikan etnik di Bumi Kenyalang,” katanya.