Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
SERDANG, 15 Jan – Pasukan dari Kolej Dua Belas, Universiti Putra Malaysia (UPM) telah menjuarai National for Teen Masterchef Competition anjuran Sekretariat Akademik, Kerjaya dan Korporat, Majlis Perwakilan Kolej (MPK), Kolej Empat Belas sesi 2023/2024 dengan kerjasama Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, UPM di L’Apprenti@Putra Restaurant, UPM, baru-baru ini.
Ketua pasukan Kolej Dua Belas UPM, Khalisah Husna Khairil Azhar berkata, meskipun pasukan tidak memiliki latar belakang jurusan makanan, namun minat dalam bidang kulinari adalah kunci kepada kemenangan yang dirangkul.
"Selain bidang bahasa Arab, saya turut meminati bidang masakan. Penyertaan dalam pertandingan ini adalah untuk memenuhi impian dalam bidang kulinari. Kejayaan yang dirangkul merupakan sesuatu di luar jangkaan kami.
"Selama ini, masakan yang dimasak hanya dinikmati oleh keluarga terdekat sahaja. Apabila menyertai pertandingan ini, penilaian masakan dibuat dan melaluinya, kelemahan diri dalam memasak dapat diperbaiki," katanya.
Pasukan dari Kolej Dua Belas, UPM dinobatkan sebagai juara pertandingan tersebut dan berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1000.00 dan sebuah trofi.
Dalam pada itu, Khalisah berkata, kemenangan ini adalah hasil kerjasama dari pasukannya yang berjaya mengharungi cabaran ini bersama-sama.
"Walaupun telah bergelar juara National for Teen Masterchef Competition, itu tidak bererti mereka boleh mendabik dada kerana masih banyak perkara yang perlu dipelajari dalam menjadi tukang masak yang hebat," katanya.
Seramai 48 orang pelajar dari universiti di seluruh Malaysia menyertai pertandingan ini yang diinspirasikan dari rancangan pertandingan memasak terkenal di kaca televisyen, iaitu MasterChef yang merupakan pertandingan memasak bertaraf antarabangsa.
Objektif pertandingan ini adalah untuk menyokong minat pelajar dalam bidang kulinari dan juga mengasah bakat mereka dalam bidang masakan serta memperoleh pengalaman secara praktikal yang dapat dijadikan sebagai bidang kerjaya alternatif.