Oleh: Nursyafiqa Razali
Pelajar Bacelor Sains Pembangunan Manusia
SERDANG, 21 MAC – Mempunyai kekurangan penglihatan sebelah mata tidak menghalang Faidz Bin Mohamad Amin, 22 untuk meneruskan pengajiannya hingga ke peringkat yang lebih tinggi. Menurutnya lagi, beliau ingin bergraduasi sekali lagi dalam bidang yang sama pada peringkat Bacelor pula dan jika diberi peluang, ingin melanjutkan pengajiannya di luar negara.
Demikian adalah harapan yang dikongsikan oleh graduan Diploma Kejuruteraan Pertanian pada hari ini dalam Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) yang ke-45.
“Saya seorang yang suka berfikir lain daripada yang lain dan mempunyai hobi membaca serta mengkaji semula perkara yang melibatkan sejarah dan kebudayaan untuk menambahkan pengetahuan saya”, kata beliau yang ditemui selepas tamat Majlis Konvokesyen UPM ke-45 hari ini.
Apabila disoal tentang tips pembelajaran dan pengurusan masa pada Faidz yang berasal dari Kuala Lumpur ini mengatakan bahawa dia sebagai mahasiswa perlulah mempunyai keselesaan belajar tersendiri, mempunyai jadual kendiri yang sebaiknya untuk mengurus aktiviti harian dan sentiasa menjaga mental dan fizikal.
“Cabaran yang dihadapi dari pelbagai perkara menjadikan ia sukar untuk dicapai, walau bagaimanapun setiap manusia mempunyai kelebihan yang berbeza untuk menghadapinya”, tambah Faidz lagi.
Antara kenangan manis yang pernah Faidz rasai sepanjang pengajiannya di Bintulu, Sarawak adalah dia dapat meluangkan masa bersama rakan-rakannya di kolej semasa berlakunya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). – UPM