Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang
SERDANG, 12 Sept – Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2), Universiti Putra Malaysia (UPM), telah menganjurkan International Symposium on Advanced Materials and Nanotechnology (iSAMN2023) siri ketujuh dan mengumpulkan pakar antarabangsa bidang ini bagi membincangkan penemuan serta penyelidikan baharu.
Timbalan Pengarah Pusat Strategi dan Perhubungan Korporat (PSPK) UPM, Prof. Madya Dr. Dahlia Zawawi berkata platform ini akan memberi pertukaran idea yang akan merangsang usaha penyelidikan, pembangunan dan inovasi nanoteknologi dalam memberi kesan positif kepada masyarakat Malaysia amnya.
“Pelbagai cabaran intelek, saintifik dan teknologi yang kita hadapi tetapi usaha untuk mencapai kecemerlangan dalam penyelidikan dan pembangunan menjadi penting untuk kita mempertahankan daya saing Malaysia dalam bidang ini.
“Secara tidak langsung simposium ini juga mengamalkan pendekatan 4P oleh Kementerian Pengajian Tinggi iaitu penyediaan bakat, penyelidikan dan inovasi, pemindahan dan perkongsian ilmu oleh universiti dengan masyarakat dan pengantarabangsaan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi iSAMN2023, Prof. Madya Dr. ChM. Jaafar Abdullah berkata simposium ini merupakan landasan bagi cendekiawan dalam bidang nanosains dan nanoteknologi berkumpul untuk bertukar-tukar pandangan, berkongsi hasil penyelidikan berimpak, dan memupuk idea kreatif yang berpotensi untuk membentuk masa depan penyelidikan yang inovatif dan kreatif.
Katanya, era nanoteknologi telah mencetuskan rasa ingin tahu saintifik yang mendalam pada dunia nanosains dan mendedahkan pandangan yang belum pernah terjadi sebelumnya serta penemuan terkini.
“Bertemakan ‘Teknologi Nano ke Arah Masa Depan Hijau dan Mampan’ menggariskan detik penting dalam bidang ini.
“Tahun ini, iSAMN2023 melibatkan pelbagai institusi antarabangsa seperti dari Jepun, Turki, Emiriah Arab Bersatu, China dan Nigeria serta beberapa institusi tempatan termasuklah Agensi Nuklear Malaysia menandakan pencapaian penting bagi simposium ini.
“Saya amat menggalakkan semua peserta untuk terlibat secara aktif, bekerjasama dan membina rangkaian dengan rakan penyelidik lain. Hubungan yang terjalin semasa acara ini boleh menjadi asas untuk perkongsian berkekalan yang merentasi sempadan geografi dan sempadan disiplin bagi meneroka bidang ini”, katanya.
Jelasnya, simposium pada tahun ini memulakan langkah baharu dengan mengguna pakai format hibrid untuk mengembalikan kemeriahan berinteraksi secara bersemuka selepas tiga tahun perhimpunan secara maya.
Dalam pada itu, simposium ini turut menyokong Matlamat 2 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu mewujudkan hab penyelidikan dan inovasi yang menjalankan nilai berteraskan ekosistem lestari.