KAJANG, 14 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Institut Nanosains dan Nanoteknologi (ION2) telah menganjurkan Program Pemindahan Ilmu: Plastik dan Kaedah Kitar Semula di Kalangan Pelajar Sekolah di SMK Kajang Utama dari 30 April hingga 30 September 2024 bagi menyemai budaya kitar semula dalam kalangan pelajar sekolah.
Ketua program, Prof. Madya ChM. Dr. Norizah Abdul Rahman berkata program ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan kefahaman pelajar mengenai isu-isu alam sekitar serta cara-cara untuk meminimumkan kesan negatif plastik terhadap alam sekitar.
“Pencemaran plastik telah menjadi salah satu cabaran alam sekitar paling kritikal di seluruh dunia, dengan berjuta-juta tan sisa plastik dilepaskan ke lautan dan tapak pelupusan sampah setiap tahun. Oleh itu, kesedaran daripada pelajar sekolah perlu ditekankan.
“Saya berharap dengan inisiatif ini, para pelajar akan menjadi lebih prihatin terhadap penggunaan plastik dalam kehidupan harian mereka dan seterusnya menjadi agen perubahan dalam masyarakat untuk mempromosikan amalan kitar semula,” katanya.
Beberapa siri aktiviti telah dirangka untuk peserta program, bermula dengan seminar atas talian yang memperkenalkan penggunaan plastik serta ancaman pencemaran plastik terhadap alam sekitar.
Siri kedua pula melibatkan sesi interaktif seperti ‘Kenali Plastik’, ‘Mencari Mikroplastik’ dan permainan ‘Kitar Sisa Anda’, di mana peserta belajar mengenai pencemaran plastik dan ancamannya.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada aktiviti di bawah Skim Geran Pemindahan Ilmu (KTGS@ION2). -UPM