Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 6 Oktober - Pelajar Bacelor Sains Haiwan dengan Kepujian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Suaidah Farzanah Suhaimi percaya bahawa bidang pertanian mempunyai prospek kerjaya yang kukuh.
Suaidah Farzanah, 20, menyatakan bahawa beliau memilih UPM sebagai pilihan pertama untuk mengembangkan ilmu pertanian dalam dirinya kerana kepakaran tenaga pengajarnya serta kemudahan pengajaran yang lengkap.
“Tujuan saya memilih bidang sains haiwan ini adalah berdasarkan minat mendalam saya terhadap haiwan, khususnya haiwan ternakan, dan ingin mempelajari teknik rawatan yang kini menjadi trend peluang kerjaya di luar negara.
“Selain itu, bukan sahaja minat, tetapi cita-cita saya adalah untuk menjadi pegawai veterinar kerana saya mahu merawat dan memulihkan haiwan,” katanya.
Beliau berasa gembira untuk menjalani sesi pembelajaran pertama yang bakal bermula dan teruja untuk menemui rakan kuliah serta pesaing baharu demi mencapai kejayaan bersama.