Oleh: Helena Pieary Juman
SERDANG, 5 Disember- Siapa sangka, dengan bakat yang ada pada dirinya membawa Sharifah Hannah Adibah Wan Serail, 24, membina kerjaya sebagai Editor di syarikat Media Digital dan Pengiklanan.
Graduan Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu dengan Kepujian, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu diraikan dalam Majlis Konvokesyen UPM yang ke-48 sidang 2 hari ini.
“Perjalanan kerjaya saya bermula apabila saya menceburi bidang kewartawanan bagi program latihan industri di Pusat Strategik dan Perhubungan Korporat, UPM,
“Melalui pengalaman Latihan Industri (LI) itu, banyak membantu saya untuk membina serta mengasah bakat dalam kerjaya saya pada hari ini,
“Ramai pelajar anggap LI cuma untuk penuhi keperluan bagi mendapatkan segulung ijazah, tapi sebenarnya latihan industri adalah permulaan kerjaya kita,” katanya
Tambah beliau, membaca serta menulis merupakan minat baginya, beliau berhasil menerbitkan beberapa penulisan dalam akhbar semasa menjalani program latihan industri, yang kini menjadi pembuka pintu rezeki beliau untuk terus berkecimpung dalam dunia penulisan
“Bimbingan rakan sekerja semasa saya menjalani LI sangat membantu saya membina portfolio kerjaya saya hari ini.
Sementara itu, beliau menegaskan kepada pelajar untuk manfaat peluang semasa menjalani latihan industri serta raih pengalaman sebanyak mungkin bagi membina kerjaya pada masa hadapan.