Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 27 September – Dua pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) telah dinobatkan sebagai Pembentang Terbaik di Global Student Leaders Summit (GSLS) 2024 di Istanbul, baru-baru ini.
Pelajar Bacelor Sains Biokimia dengan Kepujian, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBSB), UPM Umairah Farisah Ahmad Yuzri telah dinobatkan sebagai pembentang terbaik dengan tajuk pembentangan Jelajah Putra: Humanising Society for Sustainable Future” satu projek yang memperkasakan Pertanian Untuk Rakyat (PUTRA).
“Unsur dan elemen PUTRA amat ditekankan dalam setiap projek Perwakilan Pelajar kerana ia merupakan tonggak universiti dalam menterjemahkan komitmen UPM untuk merealisasikan hasrat negara mengenai keterjaminan makanan,” katanya.
Turut cemerlang, pelajar Bacelor Sains Perniagaantani dengan Kepujian dari Fakulti Pertanian, UPM, Muhammad Hafidz Shahril Izwan berkata pembentangan beliau “Vertico Clothing. Leadership role of entrepreneurship in UPM” adalah usaha beliau untuk mengembangkan teori perniagaan dalam kalangan belia.
“Melalui platform media ia dapat memupuk semangat keusahawanan dan kemahiran teknikal kepada belia untuk membina kerjaya sebagai usahawan atau dalam bidang pengurusan dan pemasaran serta menekankan aspek sosial,” katanya.
Sementara itu, program GSLS 2024 adalah platform yang mengumpulkan pelajar dari pelbagai negara untuk berkongsi ilmu dalam bidang-bidang seperti isu global, kepemimpinan, kefahaman silang budaya dan perubahan transformatif.