Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
SERDANG, 22 Mac - Hanya menjadi usahawan Nasi Lemak Jabit’s, dua graduan wanita Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya memperoleh hasil keuntungan setiap bulan RM22,000.
Namun ramai tidak tahu bahawa pemilik dan rakan kongsi Nasi Lemak Jabit’s ialah dua graduan UPM dari Fakulti Pengajian Pendidikan.
Atiqah Husna Zulkernain dan Nur Afira Azmiera Kamaruzaman merupakan graduan Bacelor Pendidikan (Bimbingan dan Kaunseling) juga usahawan berjaya dibawah program perniagaan bimbingan Pusat Pembangunan Keusahawanan dan Kebolehpasaran Graduan (CEM).
Afira menyatakan kesibukan sebagai usahawan dan pelajar akan membuatkan kami berdua lebih fokus untuk mencapai sesuatu tepat pada waktunya.
“Bayangkan saya kena siapkan assigment selepas itu perlu menyediakan nasi lemak untuk dijual. Tetapi ini adalah tanggungjawab yang kami pilih demi kelangsungan hidup semasa belajar.
“Namun ianya sangat berbaloi kerana banyak kemahiran yang saya peroleh sebagai usahawan sambil belajar. Bukan hanya belajar tetapi dapat kawan baharu, faham erti kesusahan untuk capai sesuatu dan yang paling penting ialah pengurusan kewangan walaupun sedang belajar,”katanya.
Menurut Atiqah pula, cabaran beliau ketika mula-mula meniaga nasi lemak adalah untuk mendapatkan tempat berniaga bagi memudahkan mereka untuk memasak nasi lemak.
“Bila dah dapat kedai, kami hanya mempunyai sebuah motosikal untuk digunakan sebagai kenderaan bagi membeli bahan untuk memasak nasi lemak seperti ayam, telur, beras, cili dan lain-lain.
“Bayangkan kami menghantar makanan menggunakan motosikal untuk para pelajar di kolej lain walaupun hujan lebat demi mencari wang. Namun kami berdua bersatu untuk menjual nasi lemak sambil belajar dan berniaga tanpa mengalah,”katanya.
Minat mendalam untuk meniaga dan mencari duit tambahan bagi menampung perbelanjaan sepanjang dalam pengajian adalah faktor utama mendorong mereka menjalankan perniagaan.
Atiqah memulakan perniagaan Nasi Lemak Jabit’s sejak tahun 2019. Berkat usaha dan pembelajaran ilmu perniagaan secara berterusan beliau telah berjaya mempunyai rakan kongsi iaitu Afira dan tiga (3) cawangan perniagaan di sekitar UPM yang menjual produk makanan dan minuman. – UPM