Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Mohammad Izrul Abdul Jabar
KUALA LUMPUR, 2 Oktober - Universiti Putra Malaysia (UPM) memperkukuh kecemerlangan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan dengan penganjuran Bengkel Pengukuhan Kepimpinan Akademik.
Bengkel yang bermula 30 September hingga 2 Oktober ini bertujuan untuk memacu transformasi fakulti dan mewujudkan komitmen dekan bagi terus mengekalkan kecemerlangan UPM.
Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata UPM akan sentiasa membantu bidang penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran dalam memastikan kelangsungan bidang pendidikan.
"Saya percaya 19 peserta yang hadir dalam program ini mampu menakhoda kapal UPM untuk bergerak terus ke hadapan. Kita akan gunakan segala kepakaran yang ada sehabis baik," katanya dalam ucapan penutup bengkel ini.
Bengkel yang dianjurkan oleh Pusat Pembangunan Akademik (CADe) UPM, disertai oleh dekan-dekan fakulti, termasuk Pusat Pemajuan Kompetensi Bahasa (CALC), Pusat Kokurikulum Dan Pembangunan Pelajar (PKPP) dan Pusat Asasi Sains Pertanian (ASPer).
Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Nazamid Saari dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof. Ir. Dr. B.T. Hang Tuah Baharudin. – UPM