???? | Universiti Putra Malaysia_足球比分|直播_bet007足球比分 &

足球比分|直播_bet007足球比分 &

图片

图片

Anak yatim nekad tidak noktahkan perjuangan menuntut ilmu

Oleh: Sharifah Hannah Adibah Wan Serail
Jurufoto: Noor Azreen Awang

SERDANG, 26 Nov – Seorang anak yatim, Nurul Syafiqah Abd Manaf, 27, nekad untuk tidak menoktahkan perjuangan dalam menuntut ilmu.

Nurul Syafiqah berjaya memperoleh Bacelor Pendidikan (Sains Pertanian) di Universiti Putra Malaysia (UPM) sempena Majlis Konvokesyen UPM ke-47 Sidang 2 Tahun 2023.

“Saya merupakan anak yatim yang dibesarkan oleh seorang ibu dalam keluarga yang sederhana. Kesederhanaan itu mengajarkan saya banyak hal, termasuklah dalam mengejar mimpi dan mengubah hidup kami sekeluarga. 

"Sebaik sahaja menamatkan pengajian Diploma Agroteknologi dari Politeknik Jeli Kelantan, saya bekerja di sebuah kilang selama dua tahun untuk mencari rezeki bagi membiayai pengajian saya selanjutnya. 

"Disebabkan bekerja, saya melanjutkan pengajian di UPM sedikit lewat, iaitu ketika berumur 23 tahun. Saya terpaksa beradaptasi dengan keadaan dan rakan-rakan seperjuangan yang jauh lebih muda daripada saya, tetapi saya bersyukur kerana akhirnya berjaya menamatkan pengajian,"

Meskipun perjalanan pengajian di menara gading berhadapan dengan pelbagai dugaan berat, Nurul Syafiqah bersyukur kerana berjaya melewatinya dengan cekal. 

"Semasa menjalani program latihan industri, saya terlibat dalam kemalangan jalan raya yang mengakibatkan patah tulang kaki dan tidak dapat berjalan dengan normal selama tiga bulan.

"Kemalangan itu bukan sahaja mempengaruhi kesihatan fizikal, tetapi juga kesihatan mental kerana kesakitan yang dirasakan membuatkan saya ingin berputus asa. 

"Ibu dan arwah ayah merupakan penguat semangat untuk saya terus berjuang mendapatkan pendidikan tinggi dan membina masa depan yang lebih cerah," katanya. 

Anak bongsu daripada enam beradik itu turut menyatakan bahawa meskipun ayahnya sudah tiada di sisi, dia tahu bahawa ayahnya pasti berbangga akan kejayaannya. 

Dalam pada itu, gadis yang bercita-cita untuk menjadi golongan pendidik itu berharap dirinya boleh menarik minat masyarakat, khususnya golongan muda terhadap bidang pertanian serta memberikan manfaat kepada masyarakat melalui pendidikan pertanian. 

"Mahasiswa pertanian sering dipandang sebelah mata kerana dianggap tiada masa depan dan peluang kerjaya, tetapi saya bersyukur diberikan peluang untuk melanjutkan pengajian dalam pendidikan pertanian.

"Bidang pertanian bukan tentang tumbuhan dan alam sekitar semata-mata, tetapi bidang ini mencakupi ilmu yang sangat luas dan menarik untuk diterokai sebagai asas kepada kelangsungan hidup manusia," katanya.

SXKSUA~