Oleh Azman Zakaria
Foto: Marina Ismail
SERDANG, 6 Ogos: UPM Consultancy & Services Sdn Bhd (UPMCS) dan Worldwide Landfills Sdn Bhd (Worldwide Landfills) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) untuk projek perundingan pengeluaran biochar (bioarang) daripada serpihan kayu.
Melalui projek itu, bahan buangan (serpihan kayu) yang sedia ada di Worldwide Landfills akan digunakan sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biochar.
Serpihan kayu yang dibekalkan oleh Worldwide Landfills itu akan dihantar ke Kompleks Biorefineri UPM untuk proses pengkarbonan bagi menghasilkan biochar menggunakan Teknologi UPM dengan kerjasama Kyushu Institute of Technology, Jepun (Kyutech).
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, UPM Holdings Sdn Bhd, Ir Khairul Faizi Khalid menandatangani MoA itu bagi UPMCS, manakala Worldwide Landfills diwakili Ketua Pegawai Operasi (Alam Sekitar) Worldwide Holdings Bhd, Zamri Abdul Rahman.
Majlis itu yang diadakan di Makmal Teknologi Biomas, Kompleks Biorefineri UPM di sini, disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif UPMCS, Dr. Mohd Kamil Yusoff dan Setiausaha Syarikat Worldwide Holdings Bhd, Kamil Suhaimi Baharin.
Turut hadir Naib Canselor UPM, Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini Ideris, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Worldwide Holdings Bhd, Datin Paduka Norazlina Zakaria serta penasihat projek dan ketua Kompleks Biorefineri, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul (FBBS) UPM, Prof. Dato’ Dr Mohd Ali Hassan.
Prof. Datin Paduka Dato’ Dr. Aini ketika berucap berkata matlamat projek itu adalah untuk menggunakan bahan buangan bagi menghasilkan produk nilai tambah yang dapat memberi manfaat kepada industri, orang ramai dan alam sekitar.
Datin Paduka Norazlina pula berkata, usahasama dengan UPM itu akan membuka laluan pihaknya untuk meneruskan kelangsungan ke arah kelestarian alam sekitar bagi menjaga kepentingan dan kebaikan generasi masa depan, termasuk menyumbang kepada pembangunan negara. - UPM