Oleh Azman Zakaria
Foto oleh Marina Ismail dan Noor Azreen Awang
SERDANG, 16 Nov: Pemenang Hadiah Pingat Emas Canselor, Majlis Konvokesyen ke-43 Universiti Putra Malaysia (UPM), Aida Fitri Peli melengkapkan legasi keluarga apabila beliau menerima ijazah dari UPM hari ini, sekali gus mencatat sejarah tersendiri keluarga (record of sort) kerana semua abang dan kakak serta kedua-dua ibu bapanya adalah graduan lepasan UPM.
Aida, 22, daripada program Bacelor Kejuruteraan (Kimia), Fakulti Kejuruteraan dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UPM sesi 2017/2018 menerima wang tunai RM5,000, pingat emas dan sijil yang disampaikan oleh Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada sesi pertama pengurniaan ijazah Majlis Konvokesyen ke-43 UPM di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah UPM, di sini.
Anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, bukan sahaja dua abang dan kakaknya adalah lepasan UPM, tetapi kedua-dua ibu dan bapa mereka juga adalah graduan lepasan universiti itu.
“Alhamdulillah, saya bersyukur dapat memenuhi hasrat ibu Aishah Abdullah yang mahukan saya dan semua adik beradik memperoleh ijazah, lebih-lebih lagi di UPM.
“Ibu mempunyai diploma dan mahukan anak-anaknya memperoleh ijazah. Itu satu dorongan buat saya, dan saya mencabar diri saya untuk mencapainya,” katanya.
Aida juga berkata, pembabitan aktifnya sebagai Yang Dipertua MPP UPM sesi 2017/18 tidak menghalangnya untuk berjaya dalam akademik kerana menurutnya yang penting adalah perlu bijak menguruskan masa.
“Bagi saya tidak ada masa boleh dibazirkan…di dalam kelas, saya fokus sungguh-sungguh kepada pelajaran, dan begitu juga semasa mengulangkaji,” katanya.
Semasa berpersatuan pula, katanya, setiap tugas mesti dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
“Apabila orang memberi peluang dan kepercayaan dengan memilih kita untuk memimpin, maka amanah dan tanggunjawab itu mesti dilakukan dengan baik,” katanya. - UPM