PEKAN, 17 Feb – Universiti Putra Malaysia (UPM) menerusi Institut Antarabangsa Akuakultur dan Sains Akuatik (I-AQUAS) UPM menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Serandu Aquaponic System Sdn. Bhd. (SAS) dalam usaha meningkatkan perkembangan dan penyelidikan memperkasakan lagi industri akuakultur di Pahang, hari ini.
MoU ini merupakan inisiatif menyokong hasrat Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu untuk memperkasakan industri akuakultur dalam salah satu hala tuju dan fokus utama kementeriannya dan memastikan kerjaminan bekalan makanan.
Naib Canselor UPM, YBhg. Dato' Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata melalui MoU ini penyelidikan dan pembangunan inovasi di antara penyelidik di I-AQUAS UPM bersama pihak SAS dapat ditambah baik menerusi aktiviti ternakan ketam renjong di dalam kolam HDPE lining.
“Aktiviti pemantauan dan kawalan penyakit udang putih (Penaeus vannamei) di kolam ternakan SAS juga akan dilakukan oleh I-AQUAS UPM bahkan memberi khidmat nasihat penternakan rumpai laut, latok untuk tujuan kultur secara ekstensif.
“Dalam pada itu, kerjasama ini juga melibatkan penghasilan makanan akuakultur, pemantauan sistem ternakan secara IOT dan kerjasama yang akan dipersetujui kelak oleh kedua-dua belah pihak,” katanya.
Dalam pada itu, I-AQUAS UPM telah menyumbangkan kira-kira 22,000 ekor ketam renjong, ketam bunga (spesies Portunus pelagicus) bagi percubaan ternakan atau projek rintis di Serandu ini.
Menurut penyelidik projek, Prof. Madya Dr. Murni Marlina Abd Karim berkata ketam renjong ini digunakan sebagai projek rintis penyelidikan dan menambah lebih lagi pengeluaran hasil ternakan laut untuk dipasarkan kelak.
"Di I-AQUAS UPM, kita sudah berjaya membuat pembenihan ketam renjong dan mendapat kerjasama dengan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) untuk membuat pelepasan ketam apabila terdapat permintaan daripada DOF.
"Sebelum ini ketam memang duduk di kolam tanah tetapi belum ada penyelidikan ketam renjong boleh hidup atau tidak dalam kolam HDPE lining, jadi kita hendak melihat potensi ini.
"Sekiranya penyelidikan ini menjadi kita akan pasarkan lagi benih ketam di peringkat lebih tinggi," katanya.
Tambahnya, usaha ini juga mencapai matlamat empat Pelan Strategik UPM 2021-2025, memperkasakan pertanian dan ketahanan sekuriti makanan serta menonjolkan fungsi UPM sebagai sebuah menara ilmu yang memacu kecemerlangan bidang pertanian. -UPM