Oleh: Ameesya Aghniya Ab Rahim
SERDANG, 8 Oktober - Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program bersama industri bagi memberi pendedahan kepada pelajar baharu tentang dunia kerjaya masa kini.
Program bersama Petronas dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini menjadi medium pelajar memahami bidang yang mereka ceburi serta memberikan panduan dan sokongan dalam pembangunan kerjaya mereka.
Pelajar Bacelor Sains Biokimia dengan Kepujian, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul, UPM, Nur Batrisyia Husna berkata program ini mempunyai kaitan dengan latar pendidikannya dari segi aplikasi pengetahuan saintifik.
“Melalui program ini, saya pelajari bahawa neurodiversiti dapat memberi perspektif baru tentang kepelbagaian dalam kehidupan harian serta kerjaya demi menyediakan persekitaran yang inklusif dan kukuh.
“Program ini juga dapat mengajar saya tentang kemahiran analitik dan keupayaan untuk melihat cabaran dari pelbagai sudut,” katanya.
Pelajar juga dapat memberi manfaat kepada institusi dan industri secara keseluruhan bagi membentuk generasi profesional yang berdaya saing.
Pelajar Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem dengan Kepujian dari Fakulti Kejuruteraan, UPM, Za’im Zuhairuddin Akhmal Zailani berkata, bidangnya memerlukan pengetahuan dan pemikiran yang kreatif serta inovasi bagi menyelesaikan masalah.
“Pada pandangan saya, apa yang saya pelajari ialah kita perlu bersikap inklusif untuk membantu serta bekerjasama bagi membentuk anak muda yang hebat.
“Program ini memberi saya kesedaran dalam pemilihan prospek kerjaya yang saya inginkan dan saya memilih untuk menjadi seorang pakar jurutera pertanian kerana ingin meningkatkan has?±l pertanian negara,” katanya.
Dalam pada itu, program ini dapat membentuk pembangunan insaniah serta membantu pelajar mengaplikasikan pemahaman tentang persekitaran dalam dunia kerjaya selari dengan Pelan Strategik UPM 2021-2025.