Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Izrul Jabar
Tanjung Malim, 14 Ogos – Universiti Putra Malaysia (UPM) menyasarkan 40 kilauan pingat emas pada kejohanan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 yang diadakan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) bermula 12 hingga 21 Ogos ini.
Pengarah Akademi Sukan UPM, Prof. Madya Dr. Tajularipin Sulaiman berkata kontinjen UPM akan berusaha untuk mengekalkan kejuaraan yang dicapai pada tahun 2018 yang diadakan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
"Sebanyak 40 emas yang disasarkan oleh kontinjen UPM dan antara sasaran pasukan yang akan menyumbang pingat emas ialah Ragbi 7s, memanah dan Karatedo.
“Bagi kejohanan SUKIPT pada kali ini, UPM menyertai 21 acara dengan kekuatan pasukan seramai 392 orang termasuk atlet dan pegawai UPM," katanya.
Setakat hari ini, UPM berjaya memungut enam pingat emas, satu pingat perak dan lima pingat gangsa.
Dalam pada itu, Naib Canselor UPM, YH. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkesempatan menghadiri Majlis Perasmian SUKIPT 2022 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob di UPSI, hari ini.
Turut hadir, Menteri Pengajian Tinggi, YB Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad, Timbalan Menteri Pendidikan I, Dato' Dr. Mah Hang Soon, Menteri Besar Perak, Dato' Saarani Mohamad,
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Arifin Abdu dan Pengerusi Jemaah Pengetua Kolej Kediaman, Prof. Madya Dr. Amini Amir Abdullah.- UPM