SERDANG, 30 Oktober - DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, berkenan berangkat ke Program Jangkauan Orkestra Tradisional Malaysia (OTM) anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Istana Budaya yang berlangsung semalam.
Program bertemakan “Sounds of Malaysia” ini merupakan platform untuk memperkasakan seni budaya Malaysia dalam usaha memelihara serta memupuk minat generasi muda. Selain itu, penganjuran konsert ini juga bertujuan untuk memartabatkan dan menyemarakkan warisan kesenian dalam industri muzik di Malaysia.
Pengarah Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, Husalshah Rizal Hussian, berkata kerjasama dengan Istana Budaya penting bagi memupuk nilai kesenian dalam kalangan warga universiti.
“Menerusi program ini, UPM turut mendapat manfaat dengan meneroka bakat staf dan pelajar universiti, bagi memperkayakan agenda tersebut serta membuka peluang dan memberi pengalaman sebenar dalam bidang seni persembahan.
“Kami turut mengambil inisiatif untuk menjalin kerjasama dengan Istana Budaya bagi menyerlahkan serta mengasah bakat seni dalam kalangan warga universiti,” katanya.
Selain itu, Konsert OTM turut menampilkan barisan penyanyi popular seperti Ernie Zakri, Haqiem Rusli, Rojer Kajol, dan Dhiya Suhaili, yang diiringi dengan persembahan hebat daripada Orkestra Tradisional Malaysia (OTM).