Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
SERDANG, 7 April - Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah sedikit sebanyak meringankan beban penjawat awam.
Prof. Madya Ts Dr. Anuar Shah Bali Mahomed, Sekolah Perniagaan dan Ekonomi |
Pensyarah Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SPE), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Ts Dr. Anuar Shah Bali Mahomed berkata bantuan tersebut membantu penjawat awam yang telah berbelanja pada bulan Mac lepas bagi tujuan persekolahan anak-anak.
“Bantuan itu mengurangkan beban kakitangan awam untuk berhari raya terutamanya mengambil kira perbelanjaan yang tinggi buat anak-anak mereka untuk kembali ke sekolah pada bulan Mac hingga awal April ini.
“Kos perbelanjaan bagi anak-anak masuk ke tadika atau taska sekarang juga semakin tinggi. Jika ada beberapa anak bersekolah maka semakin tinggi perbelanjaan,” katanya.
Bantuan khas itu membabitkan peruntukan RM923 juta bagi manfaatkan lebih dua juta penjawat awam dan pesara.
Beliau berkata, walaupun akan berlaku pertambahan perbelanjaan kerajaan, namun bonus ini akan memberi manfaat kepada peniaga termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
“Jika kita lihat wang yang disalurkan kepada penjawat awam itu akan dibelanjakan seperti membeli barangan keperluan harian dan menampung kos perbelanjaan persekolahan sebelum ini.
“Sebenarnya berlaku pusingan di situ di mana dalam masa yang sama ia juga dapat membantu peniaga termasuk PKS disebabkan perbelanjaan menggunakan bonus untuk membeli barangan yang akan memberi manfaat pada PKS,” katanya. -UPM