SERDANG, 15 Jan - Universiti Putra Malaysia (UPM) melalui Kelab Bacelor Sains Pengurusan Perladangan, (PLANTERS) telah menganjurkan program UKM-UPM Joint Seminar (PertaniUPM Connect) bagi mengembangkan ilmu dalam bidang Bioteknologi Tumbuhan dan Patologi Tumbuhan Asas di sini, baru-baru ini.
Pengarah program, Tamilarasan Nagarajan berkata program ini menggariskan isu-isu terkini dan kepentingan dalam pertanian dan perkongsian mendalam tentang penambahbaikan tanaman serta keselamatan makanan di masa depan.
“Seramai 54 pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menyertai seminar ini dan tanaman jagung menjadi tumpuan khusus ketika perkongsian ilmu dalam program ini.
“Para peserta juga berpeluang menuai hasil jagung sendiri sebagai pengalaman dan menarik minat peserta untuk melibatkan diri secara langsung dalam pengalaman pertanian yang unik selain mempelajari langkah-langkah dan kepentingan pertanian dalam proses penuaian,” katanya.
Katanya lagi, realiti dunia pertanian juga dapat dikongsi kepada pelajar universiti luar bagi mencapai matlamat 1 Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu melahirkan watak graduan berdaya tahan mendepani cabaran mendatang.
“Semoga program ini dapat mengukuhkan lagi kolaborasi dan pemindahan ilmu antara dua universiti bagi memperkasakan pertanian dan sekuriti makanan,” katanya. -UPM