Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Muhammad Nur Zairi Mohd Nazari
SERDANG, 24 Julai – Pameran International Sustainable, Environmental, Exploration and Design (SEED) Showcase 2024 anjuran Fakulti Rekabentuk dan Senibina (FRSB), Universiti Putra Malaysia (UPM) merupakan platform dalam mempromosikan serta menampilkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam reka bentuk pelajar.
Selain itu, pameran ini turut berkolaborasi bersama tiga universiti antarabangsa iaitu Universiti Suan Sunandha Rajabhat (SSRU), Thailand, Universiti Telkom, Bandung,Indonesia, dan Hubei Institute Of Fine Arts, China sebagai sebahagian daripada pempamer selain industri tempatan.
Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), UPM, Prof. Dr. Zamberi Sekawi berharap melalui program ini akan lebih mengalakkan pelajar untuk terus berkarya dan menghasilkan idea yang berfaedah di peringkat yang lebih tinggi.
“Pelajar berpeluang mendapat pengalaman dan ilmu melalui program ini yang akan memberi manfaat untuk jangka masa panjang dan sebagai pengalaman pembelajaran kepada pelajar serta bagi mengilap potensi mereka dalam bidang tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Dekan FRSB, UPM, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Mohd Johari Mohd Yusof berkata matlamat utama pameran tersebut adalah untuk mempromosikan idea reka bentuk pelajar dan penyelesaian yang boleh dimanfaatkan kepada masyarakat.
“Ini adalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai mengenai peranan reka bentuk perindustrian dalam komuniti dan memberi peluang kepada pelajar untuk pertukaran idea dengan pihak industri untuk mendapatkan input terkini,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Prgram, Hafiz Iskandar Hisham berkata program yang bertemakan “Ai Aided Design for Inclusivity” memberi pendedahan kepada pelajar dalam menghasilkan reka bentuk industri dengan menggunakan pelbagai aplikasi AI.
“Penggunaan AI memberi peluang kepada pelajar untuk menerokai kepelbagai aplikasi sejajar dengan keperluan masa kini yang bersesuaian dalam menghasilkan reka bentuk yang futuristk bersesuaian dengan keadaan semasa,” katanya.