Oleh: Noor Eszereen Juferi
Foto Oleh: Mozaid Idris
SERDANG, 18 November – Penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencipta inovasi dalam pengurusan imej perubatan melalui Sistem PadiMedical yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) bagi menggantikan penggunaan filem dan CD tradisional.
Teknologi yang menggunakan kaedah Cloud Based Medical Image Management System with Artificial Intelligence Integration ini direka untuk memudahkan perkongsian data perubatan dan mempercepatkan proses diagnosis awal.
Ketua Penyelidik Jabatan Radiologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, Prof. Dr. Ahmad Sobri Muda, Sistem PadiMedical berfungsi sebagai platform pengurusan imej perubatan berasaskan AI yang membolehkan akses kepada imej perubatan di mana sahaja.
"Sistem ini membantu dalam sesi rundingan pakar secara jarak jauh, menjadikan proses lebih pantas dan mudah untuk doktor mengakses data pesakit dengan cepat serta mempercepatkan proses rujukan pakar bagi kes-kes kritikal dan dapat meningkatkan kesejahteraan pesakit secara keseluruhan," katanya pada
''Inovasi ini turut membolehkan sektor kesihatan bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan terutama dalam konteks rawatan jarak jauh dan teleperubatan serta perkongsian kes antara institut perubatan boleh menggunakan platform ini untuk melihat imbasan pesakit tertentu menggunakan akses sulit,'' katanya.
Tambah beliau, penggunaan teknologi ini dapat meningkatkan produktiviti serta menyediakan perkhidmatan yang lebih mampu milik.
''Sistem PadiMedical dijangka dapat memberi impak besar kepada sektor kesihatan dengan memudahkan akses dan mempercepatkan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat,'' katanya.
Selain itu, pasukan penyelidik beliau antaranya Dr. Anas Tharek, Ts. Muhammad Izzat Ahmad Sabri, Farzanah Atikah binti Yamba, Muhammad Erfeezal Roslan dan Mohd Fazrin Zainal.
Penyelidikan itu turut menerima beberapa pengiktirafan antaranya Pingat Emas dalam pertandingan International University Carnival On E-Learning 2022 (IUCEL 2022), Pingat Emas dalam pertandingan Virtual International Medical Innovation Competition 2022 (MED Innovation 2022), Pemenang dalam kategori AI Segment semasa 20th Asian Oceanian Congress of Radiology and 78th Annual Meeting of the Korean Society of Radiology (AOCR 2022 & KCR 2022) dan Pingat Perak dalam Malaysian Technology Expo 2022 SDG International Innovation Awards & Expo.
Dalam pada itu, Putra Science Park (PSP), UPM bekerjasama dengan Longe Medikal Sdn. Bhd. dalam pengurusan imej perubatan melalui Sistem PadiMedical membawa teknologi perubatan ini ke pasaran bagi mempercepatkan inovasi dalam ekosistem kesihatan pintar.
Kerjasama ini bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan pengimejan perubatan yang lebih mudah diakses dan berpatutan di seluruh negara.