Oleh: Nazrul Rapail
Pelajar Bacelor Sastera (Bahasa dan Lingustik Melayu)
SERDANG, 22 MAC – Graduan Bacelor Sastera Bahasa dan Linguistik Melayu, Mohamad Ridzuan Zakaria tidak menjadikan kekurangannya sebagai alasan untuk menggenggam segulung ijazah di Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke- 45, hari ini.
Pelajar daripada Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK) merupakan golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang telah disahkan mengalami ADHD (Attention Deficit Hyperactive Disorder) semenjak kecil lagi.
Katanya, sepanjang pengajiannya beliau aktif mewakili UPM dalam Kejohanan Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM) bagi acara Pencak Silat tahun 2019 dan 2020 serta pernah mengikuti Pertandingan Membaca Puisi di peringkat Interkolej.
Beliau turut pernah menjadi pegawai kadet PALAPES UPM di awal pengajiannya.
“Penglibatan saya bertujuan untuk mengasah bakat dan kemahiran yang ada dalam diri di samping ingin membuktikan bahawa golongan OKU ADHD ini juga mampu menyerlah berbanding orang lain,” katanya.
Selain cabaran dalam berkomunikasi bersama rakan-rakan, beliau juga akui penyakit OKU ADHD membuatkan beliau sukar untuk memberikan tumpuan semasa berada di dalam kelas.
“Kadang-kadang saya tak dapat fokus dengan fakta-fakta yang diberikan oleh pensyarah dan saya akan tanya berulang-ulang kali baru saya dapat memahami,” katanya.
Beliau turut bersyukur dan berterima kasih kepada rakan-rakan dan pensyarah yang kerap membantunya sepanjang berada di UPM.
“Unit Perkhidmatan OKU UPM juga banyak membantu saya dari segi bantuan kewangan serta rawatan memandangkan penyakit yang dihidapi ini membuatkan emosinya tidak menentu,” katanya.
Mohamad Ridzuan, 27, adalah anak kelahiran Batu Kurau, Perak merupakan anak bongsu daripada tiga orang adik beradik dan mereka kehilangan ibu pada tahun 2014.
“Arwah ibu saya merupakan sumber inspirasi saya dan dia ingin melihat saya berjaya,” katanya.
Mohamad Ridzuan sempat menyampaikan pesanannya kepada pelajar di luar sana supaya untuk teruskan bersemangat untuk belajar bersungguh-sungguh serta jangan cepat menyerah kalah dan jadikan ejekan orang itu sebagai satu lonjakan untuk berjuang.
Kini, beliau berkhidmat di sebuah institusi pendidikan dan merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi agar dapat mencapai cita-citanya sebagai seorang warga pendidik suatu hari nanti. - UPM