Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Noor Azreen Awang
SERDANG, 24 Mei – Sebut sahaja buah tembikai pastinya ramai sudah mula membayangkan isinya yang berwarna merah dan bentuk fizikalnya yang bulat serta kulit yang berwarna hijau.
Selain bentuknya yang bulat, buah ini juga mempunyai bentuk lonjong atau lebih dikenali sebagai tembikai oblong.
Menurut Penolong Pegawai Pertanian, Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM), Mohd Nazrul Anis berkata buah tembikai jenis oblong mempunyai peminatnya yang tersendiri berikutan ciri-ciri keunikan yang ada pada jenis ini.
Beliau berkata buah tembikai oblong jenis golden sweet mempunyai rasa yang lebih rangup dan manis daripada tembikai biasa bahkan isinya yang berwarna kuning menjadi tarikan kepada pembeli.
“Keunikan tembikai jenis ini dapat dilihat daripada warna isinya walaupun kulitnya berwarna hijau manakala tembikai oblong berwarna kuning isinya pula berwarna merah namun masing-masing mempunyai biji yang agak banyak.
“Kebiasaannya tembikai yang berada di pasaran jenis boci iaitu bulat itu tiada biji. Jadi tembikai oblong seperti ini jarang berada di pasaran menyebabkannya sedikit mahal berbanding biasa namun ada peminat kerana rasanya” katanya ketika ditemui di Ladang 15, UPM.
Tambahnya lagi, pada paket biji benih tembikai sudah ditulis jenis serta varieti buah termasuklah tempoh penanaman dan tahap kemanisan.
Beliau yang sudah lapan tahun berkecimpung dengan tanaman buah-buahan di UPM berkata buah tembikai oblong ini sering mendapat permintaan yang tinggi daripada penduduk sekitar Serdang, Putrajaya, Bangi dan Kajang setiap kali penanaman buah ini.
“Masyarakat pelbagai bangsa terutamanya masyarakat cina sekitar kawasan ini sangat gemar tembikai oblong yang isinya kuning kerana rasanya.
“Para penggemar buah ini senantiasa menantikan kemunculan buah-buahan segar di Ladang 15 terutamanya melalui media sosial seperti Facebook page ‘PutraBest Fakulti Pertanian’ dan juga applikasi ‘whatsapp’.
“Para pembeli yang sudah biasa ini akan terus datang ke Ladang 15 ini apabila kita keluarkan iklan tembikai ini sudah dituai,” katanya.
Mengulas berkenaan cabaran menanam tembikai oblong, beliau berkata penjagaan yang rapi perlu dilakukan berikutan kulitnya lebih sensitif dan buahnya mudah rosak terutamanya jenis kulit yang berwarna kuning.
“Bagi tembikai jenis ini, kulitnya yang agak nipis dan sensitif memerlukan penjagaan rapi dan juga kelembapan hendaklah rendah bagi mengelakkan buah mudah rosak. Musim panas merupakan cuaca terbaik untuk penanaman tembikai.
“Tumbuhnya sama seperti tembikai boci iaitu pada batang yang menjalar di atas tanah dan subur di iklim panas atau kering kerana kandungan glucosa (gula) lebih tinggi. Apabila musim hujan, kuantiti air yang berlebihan akan menyebabkan buah mudah rosak dan menyebabkan kemanisan buah akan berkurangan” ujarnya. -UPM