Oleh: Nurul Ezzaty Mohd Azhari
Foto: Sabri Omar
SERDANG, 13 Okt - Rangkaian komunikasi mudah alih adalah bidang yang terus berkembang dengan cepat pada masa kini memenuhi keperluan pengguna.
Pada masa kini, akses kepada pekerjaan, pendidikan dan perkhidmatan perubatan semakin bergantung pada jalur lebar berkelajuan tinggi serta kebanyakan perusahaan besar telah mula melaksanakan telekomunikasi.
Pakar Komunikasi Mudah Alih dan Satelit, Fakulti Kejuruteraan (FK), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali berkata melalui perkembangan seperti Internet Pelbagai Benda (IoT) dan rangkaian 5G menjadikan rangkaian mudah alih semakin penting dalam kehidupan harian kita.
Tambahnya, komunikasi satelit juga telah menjadi teknologi penting untuk komunikasi global serta membolehkan kawasan terpencil mengakses komunikasi dengan kawasan bandar.
“Bagi rangkaian satelit, kadar pertumbuhannya mungkin tidak sepantas rangkaian mudah alih, tetapi ia menawarkan kelebihan tersendiri, terutamanya dalam kawasan yang tiada liputan seperti hutan, laut dan komunikasi jauh bagi memastikan akses dapat dicapai.
“Bagi mengekalkan teknologi rangkaian mudah alih di hadapan, perlu ada usaha yang berterusan untuk menyesuaikan diri dengan perkembangan tersebut,” katanya pada Syarahan Inauguralnya bertajuk ‘Sky-High Communication Anytime, Anywhere’ di sini, hari ini.
Katanya, cabaran terbesar ini dilihat apabila ia merupakan teknologi yang cepat berubah, sentiasa berkembang dan bertambah baik, menyebabkannya salah satu bidang yang paling mencabar untuk kekal di hadapan.
Dalam pada itu, Prof. Ir. Dr. Aduwati berkata capaian telekomunikasi di pedalaman Sabah dan Sarawak memerlukan peruntukan yang besar untuk memasang satelit dan ‘base station’ yang memakan kos menyebabkan satu syarikat telekomunikasi menimbang tara keperluan memasang atau tidak.
“Satu syarikat telekomunikasi (telco) akan menimbang tara sama ada berbaloi atau tidak kos memasang ‘base station’ di kawasan pedalaman dengan pulangan yang akan diterima oleh syarikat. Oleh itu, kerajaan perlu mengambil peluang membantu kawasan seperti ini bagi memastikan rangkaian di terima,” katanya.
Mengulas berkenaan gangguan signal rangkaian satelit ketika hujan, beliau berkata jenis titisan air hujan turut memainkan peranan.
“Hujan di Malaysia ialah hujan tropika dan titisan airnya besar berbanding hujan di negara-negara Eropah kerana titisan hujan di sana adalah lebih kecil dan halus menyebabkan di sini sedikit terganggu menerima rangkaian.
“Kajian akan terus dilaksanakan bagi memastikan telefon pintar sentiasa mempunyai akses rangkaian untuk berhubung antara satu sama lain, sensor di laut, hutan dan udara supaya isyarat diterima dengan selamat,” katanya. -UPM