KUALA LUMPUR, 22 Oktober – Inovasi MORINGO hasil teknologi Universiti Putra Malaysia (UPM) telah merangkul Juara Selangor R&D and Innovation Expo 2023 Kategori Institusi Pengajian Tinggi dan hadiah tunai RM8,000.
Produk MORINGO, Moringa Chewable Tablets - Sweets and Yet Nutritious! adalah inovasi penyelidik Jabatan Kejuruteraan Makanan, Fakulti Kejuruteraan yang juga Timbalan Pengarah, Institut Penyelidikan Produk Halal (IPPH), UPM, Prof. Ir. Dr. Yus Aniza Yusof telah dihasilkan daripada serbuk daun Moringa oleifera atau dikenali sebagai daun kelor, daun lemunggai, merupakan superfood yang mengandungi khasiat yang tinggi.
Selain itu, inovasi Internet of Sports (IOSROCKS) Sports Performance Analysis System, ciptaan Prof Dato' Dr Shamala Subramaniam, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM), UPM turut memenangi “The Best Research Innovation Award” dan pingat Emas di 4th International Innovation, Technology & Research Exhibition and Conference (ITREXC) bersempena penganjuran SRIE 2023.
Ekspo SRIE 2023 kali ke-4 ini merupakan pertandingan R&D dan inovasi yang terbuka kepada penyelidik seluruh negara yang berlangsung dari 19 hingga 22 Oktober 2023 di KL Convention Centre, Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, YAB Dato’ Seri Amiruddin Shari.
Produk MorinGOTM ini mengatasi isu rasa asli moringa yang kurang digemari dan telah dijadikan tablet mudah kunyah yang sedap, mudah larut dan mudah menyerap di dalam badan sesuai bagi golongan dewasa, remaja dan kanak-kanak. Ianya boleh dimakan begitu sahaja tanpa memerlukan air, sesuai bagi pengguna yang mengalami masalah untuk menelan, dan senang dibawa ke mana sahaja kerana disediakan dalam pek-pek kecil.
MorinGO boleh dijadikan alternatif kepada gula-gula kerana menggunakan gula rendah kalori yang mengandungi B6, B12 yang tinggi, membantu pencernaan serta dapat menukarkan makanan menjadi tenaga di samping mengandungi sumber kalsium dan magnesium yang merupakan mineral yang dapat menyokong kesihatan tulang, fungsi otot dan saraf. Inovasi IOSROCKS pula adalah inovasi berasaskan industri 4.0 dan industri 5.0 yang menyediakan analisa prestasi sukan untuk ekosistem sukan yang komprehensif. IOSROCKS merangkumi analisa multivariate yang mengaitkan elemen di luar padang dan di atas padang, akar umbi, pembangunan dan prestasi tinggi dengan formulasi pelaburan yang dioptimumkan untuk model transformasi digital yang meluas serta memanfaatkan semua peringkat penglibatan sukan.
Pengarah Putra Science Park (PSP), UPM, Prof. Ir. Dr. Hj. Kamarul Arifin Ahmad berkata pengkomersialan produk Moringo ini telah dijayakan dengan kerjasama syarikat NutraMagis Sdn. Bhd. dan IOSRocks pula oleh syarikat U Empower Sdn. Bhd. yang mana kedua-duanya merupakan syarikat pemula di bawah bimbingan Program InnoHub UPM, Putra Science Park.
Dalam masa yang sama, inovasi Standardized Cosmos Powder For Diverse Uses oleh Dr. Ahmad Haniff Jaafar, Fakulti Sains dan Teknologi Makanan UPM, dan syarikat Astera Food Sdn Bhd turut terpilih sebagai pemenang saguhati RM1,000 bagi Anugerah Inovasi Anak Selangor di lokasi sama.
Ketua Seksyen Promosi dan Pemasaran Inovasi PSP, UPM, Asrizam Esam, universiti sangat komited dalam mengkomersialkan inovasi yang dapat memberi kebaikan kepada masyarakat dan negara serta sangat mengalu-alukan kolaborasi daripada industri bagi membawa lebih banyak lagi hasil inovasi ke pasaran. SRIE 2023 telah menjadi platform yang sangat berkesan bagi membantu penyelidik untuk meraih pengiktirafan dan peluang bertemu dengan rakan industri serta pelabur baharu.