SERDANG, 8 Mac- Bagi meningkatkan kecekapan enjin yang lembap serta mengurangkan bunyi dan getaran semasa pemanduan, seorang penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) telah mencuba jalan penyelesaiaan dengan mencipta inovasi GrafinTok® iaitu minyak pelincir bagi mengatasi masalah ini.
Prof. Dr. Janet Lim Hong Ngee telah mencipta minyak pelincir menggunakan grafin yang meningkatkan kecekapan enjin dan mengurangkan perlepasan karbon.
"Grafin adalah elemen utama yang digunakan dalam membangunkan inovasi itu yang memberi perlindungan menyeluruh pada omboh kereta dengan mengurangkan geseran pada omboh kerana sifatnya yang berupaya melindungi permukaan logam dan mengurangkan penggeseran.
"Pengunaan GrafinTok® akan memberi pengguna kebaikan daripada segi penjimatan kos dan bahan api. Minyak pelincir aditif ini akan memanjangkan hayat minyak enjin dan menyejukkan enjin kenderaan," katanya.
Beliau mendapat inspirasi untuk mencipta GrafinTok® setelah melihat sendiri ayahnya yang sering mengalami masalah teksi yang dipandu berbunyi sangat kuat dan juga getaran yang sungguh bising.
Tambahnya, semua jenis kereta boleh menggunakan GrafinTok® dengan mudah dengan mencampurkan minyak pelincir ini ke dalam minyak enjin serta berupaya meningkatkan kuasa enjin, mengurangkan pelepasan karbon dan menyumbang kepada penjimatan penggunaan minyak.
"Inovasi itu direka khusus untuk menangani isu penggeseran yang tinggi pada permukaan logam (omboh), sekali gus menjadikannya sebagai minyak enjin aditif yang berbaloi dari segi perlindungan enjin.
"Minyak pelincir ini juga mesra pengguna kerana boleh dikendalikan sendiri serta menjadi ‘ciptaan hijau’ yang menjimatkan perbelanjaan dengan meningkatkan kelancaran enjin bagi pembakaran petrol yang lebih berkesan" ujarnya.