Oleh: Azman Zakaria
SERDANG, 11 Feb: Naib Canselor Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman menggariskan 11 aspirasi dalam Naratif Naib Canselor 2022 dan meminta semua warga UPM menghayati serta melaksanakannya, dan berharap tahun 2022 akan dilalui dengan semangat lebih membara dan bingkas mendepani cabaran dengan keberanian.
Aspirasi itu ialah Menakhoda Pertanian dan Pusat Rujukan Pengembangan, Melahirkan Pelajar Sebagai Sosok Warganegara Yang Baik, Merealisasikan Kampus PIntar, Memartabatkan Penyelidikan Untuk Negara, Menjuarai Misi Universiti Untuk Masyarakat, Merancak UPM Global, Mengekalkan Reputasi UPM Sebagai Universiti Paling Lestari, Memugar Cakna Menjulang Bakti, Memperhebat Prakarsa Kesejahteraan Kampus, Membingkas Pendanaan Universiti, dan Melibatsama Alumni Untuk Kelangsungan Universiti.
Katanya, Naratif Naib Canselor tahun ini yang merupakan kesinambungan daripada naratif tahun lalu yang menyeru warga UPM menggema seruan al-Falah dari menara ilmu, perlu direalisasikan ke dalam bentuk tindakan dan pelaksanaan pada tahun ini.
“Saya menyeru warga UPM untuk bersama ‘Sederap Melangkah Menuju al-Falah.’ Ayuhlah kita bersama menyinsing lengan menunaikan harapan masyarakat yang disandang di bahu kita,” katanya ketika berucap pada majlis Naratif Naib Canselor 2022 di sini.
Beliau berkata, pada tahun ini UPM akan memberi fokus kepada program-program yang dirancang oleh Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang menyokong pencapaian sasaran Pelan Strategik UPM 2021-2025, khususnya aspek pertanian berteknologi tinggi, pendigitalan kampus pintar serta program yang menyumbang kepada kelestarian institusi mapan.
Prof. Dr. Mohd Roslan berkata, aspirasi Menakhoda Pertanian dan Pusat Rujukan Pengembangan, adalah termasuk Pelaksanaan Mekanisasi Pertanian dan Aplikasi Pendekatan Pintar terhadap Teknologi Pertanian Persis Menggunakan Dron untuk Input Pertanian (racun perosak, baja atau benih), serta Pembangunan Aplikasi Mudah Alih untuk Pengurusan Padi dengan Menggunakan Peta Normalized Difference Vegetation Index (NDVI).
Melalui aspirasi Melahirkan Pelajar Sebagai Sosok Warganegara Yang Baik pula, UPM akan berusaha memantapkan literasi politik dalam kalangan pelajar melalui pelbagai kaedah dan pendekatan, antaranya memberi penekanan kepada pembentukan nilai bersama dalam kebebasan berpolitik pelajar berdasarkan nilai teras universiti.
Aspirasi Merealisasikan Kampus Pintar, pula adalah untuk memperkasa pendigitalan kampus kerana ia adalah sistem sokongan terbaik untuk UPM lebih berkembang sebagai organisasi. Prof Dr. Mohd Roslan turut melancarkan aplikasi Mobile Apps Smart Putra®Staf yang dibangunkan Pusat Pembangunan Maklumat dan Komunikasi (iDEC).
Aspirasi Memartabatkan Penyelidikan Untuk Negara, antara lain akan memperkenalkan ciri keusahawanan kepada penyelidik di UPM agar dapat memberi tumpuan penuh kepada pengurusan start-up yang didaftar sebagi sumber pendapatan universiti, dalam usaha memperkasakan pengkomersialan dan inovasi UPM.
Aspirasi Menjuarai Misi Universiti Untuk Masyarakat, pula adalah untuk terus memperkukuh jaringan industri dan masyarakat, termasuk perbincangan bagi penubuhan Majlis Penasihat Industri Universiti. Majlis itu berperanan membantu UPM menghasilkan graduan holistik yang dapat memenuhi permintaan pasaran secara strategik, pendanaan melalui wakaf ilmu (endowment), peralatan kajian dan geran penyelidikan serta kerjasama strategik bagi pemindahan ilmu kepakaran UPM.
Aspirasi Merancak UPM Global, pula antara lain akan memantapkan pengurusan MoU/MoA serta menyahut agenda Melagang Kampus Pintar dan Pendigitalan melalui e-Sistem Pengurusan MoU/MoA Universiti untuk membantu melancarkan proses permohonan kelulusan MoU/MoA/Perjanjian daripada PTJ serta pemantauan proses kelulusan oleh Urusertia, dan pengumpulan data aktiviti yang dijalankan bersama rakan MoU/MoA.
Aspirasi Mengekalkan Reputasi UPM Sebagai Universiti Paling Lestari, pula mengkehendaki usaha kelestarian diteruskan dari semasa ke semasa. UPM bakal memiliki sistem solar fotovoltaik (PV) dengan kapasiti 16.18 MWp, sekali gus mampu menjimatkan RM114 juta bil elektrik universitii dalam tempoh 25 tahun.
Aspirasi Memugar Cakna Menjulang Bakti, pula memperkukuh gerak kerja misi kemanusiaan termasuk penubuhan Jawatankuasa Sukarelawan staf UPM atau Sukarelawan Putra Bakti yang akan memberi nilai tambah kepada universiti dan staf dalam memberi khidmat kepada komuniti serta meningkatkan visibiliti UPM sebagai antara universiti yang terkehadapan dalam kesukarelawan.
Aspirasi Memperhebat Prakarsa Kesejahteraan Kampus, pula menekankan aspek kesejahteraan warga UPM termasuk persekitaran kerja yang kondusif, manakala PTJ perlu menyediakan ruang untuk aktiviti riadah dan bersukan bagi pembudayaan gaya hidup sihat dan cergas. Sehubungan itu program riadah berbasikal Warga UPM sekitar kampus bersama Naib Canselor akan diadakan setiap petang Rabu bermua Mac 2022.
Aspirasi Membingkas Pendanaan Universiti, pula adalah memperkasakan kelestarian UPM melalui usaha pendanaan yang strategik dan berimpak tinggi. Dalam hal ini UPM akan memulakan projek Medical City meliputi kawasan seluas 86 ekar di sempadan UPM sebagai satu perkembangan perubatan yang signifikan. Projek selama 37 tahun dengan anggaran pendapatan 75 juta itu akan menjadi milik UPM sepenuhnya selepas tempoh kontrak tamat.
Aspirasi Melibat Sama Alumni Untuk Kelangsungan Universiti, pula menyantuni semangat berbakti alumni dan sifat dermawan alumni untuk menyumbang kembali kepada universiti menerusi sumbangan penajaan biasiswa dan bantuan kewangan kepada pelajar. - UPM