SERDANG, 1 Disember – Rasa cinta terhadap aktiviti sukarelawan telah menarik minat Penerima Hadiah Universiti Pingat Emas Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Nurin Hanisah Alhajar untuk aktif dengan program kokurikulum di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Nurin Hanisah, 24, berpandangan penglibatan dalam kokurikulum di universiti adalah peluang untuk beliau untuk meningkatkan kemahiran insaniah yang merupakan perkara yang perlu setiap graduan bersedia dalam mendepani dunia pekerjaan masa kini.
“Bagi saya aktiviti kokurikulum bukan hanya sekadar mengisi masa lapang tetapi adalah peluang untuk kita meningkatkan kemahiran dalam komunikasi, kepimpinan dan kerja berpasukan,” katanya.
Nurin yang juga graduan Bacelor Sains Dietetik dengan Kepujian dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM, berkata sikapnya yang suka mencabar diri membawa beliau terlibat dalam pelbagai aktiviti di universiti dan antaranya Kor Siswa-Siswi Pertahanan Awam (KOR SISPA) sehingga berjaya menamatkan latihan sebagai Leftenan Muda.
“Ini secara langsung memperkasakan diri saya pelbagai platform yang disediakan oleh universiti dan saya tidak menghadkan diri saya untuk menerokai bidang lain walaupun saya dalam bdang sains,” katanya.
Beliau juga mengongsikan detik manis yang diingati antaranya telah menjalankan program mobiliti pertama ke Indonesia selepas pandemik COVID-19.
“Program ini juga melibatkan pelajar dari Universitas Gadjah Mada, Indonesia dan telah memberikan peluang kepada saya untuk mempelajari budaya dan memahami bagaimana profesion dietetik berfungsi di negara lain,” katanya.
Beliau turut menitipkan nasihat kepada pelajar UPM agar tidak takut untuk mencuba perkara baharu dan terus berusaha meningkatkan ilmu serta kemahiran.
“Pendidikan sangat penting dan perlu seiringan dengan aktiviti kokurikulum dan dengan memperoleh ilmu tersebut kita bukan sahaja mampu bertahan lama dalam sesuatu industri, dan secara langsung akan berkomunikasi dan berinteraksi dengan lebih profesional dengan orang luar,” katanya.