Oleh: Nur Syamila Kamarul Arefin
SERDANG, 9 Februari - Rata-rata masyarakat menganggap menderma darah akan menyebabkan berat badan bertambah dan gemuk mendadak, namun ianya dianggap mitos sahaja.
Realitinya ramai sedia melakukannya sehingga ada yang mencatat rekod berulang kali menderma darah.
Pegawai Perubatan, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Dr. Mohamad Izameer Ashraf Mohd Amran, berkata, persepsi menderma darah boleh menyebabkan kegemukan perlu dibuang kerana ianya mitos yang akan menyebabkan bekalan darah di Malaysia semakin berkurangan.
"Stigma negatif ini adalah salah dan perlu dibuang daripada minda ramai. Jika mitos ini makin kuat, ramai orang enggan menderma darah di Malaysia,” katanya.
HPUPM telah mengambil inisiatif menjalankan kempen derma darah bermula 9 Mac sehingga 10 Mac ini di foyer Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK), UPM. Ia selari dengan hasrat HPUPM untuk meneruskan hebahan tentang kesedaran dalam menderma darah kepada masyarakat.
Izameer berkata, jika ramai yang tidak menderma darah, jumlah darah yang didermakan hanya boleh digunakan kepada mereka yang betul-betul memerlukan sahaja.
"Derma darah tidak mengemukkan tetapi mampu menyelamatkan tiga nyawa," katanya.
Jururawat Pusat Darah Negara, Nur Shasya Nabila Ahmad berkata, mereka menjadi gemuk disebabkan pemakanan dan juga hormon bukan berpunca daripada derma darah.
"Dengan menderma darah dapat mengurangkan risiko sakit jantung dan menyeimbangkan kandungan zat besi dalam dalam badan," katanya.
Bagi pelajar praktikal di Jabatan Sains Bioperubatan HPUPM, Hidayatul Naajiyah, menderma darah telah menjadi rutinnya sekarang dan sudah dua kali menderma.
"Ramai orang kata kalau derma darah badan akan gemuk, tetapi bagi saya tidak kerana ianya membakar kalori.
“Derma darah tiada kaitan dengan kegemukan. Mungkin ada individu selepas derma darah makan banyak untuk menggantikan darah yang sudah diderma dan selepas menderma hari ini, saya rasa gembira kerana dapat membantu orang yang sangat memerlukan,” katanya. - UPM
Keperluan darah:
* 500 hingga 600 beg darah sehari diperlukan di Lembah Klang.
* 2,000 beg darah di seluruh negara.
* Jenis darah: A, B, AB dan O.