“Saya sangat terkejut apabila menerima e-mel daripada UPM yang menyatakan bahawa saya telah mendapat Anugerah Canselor dan perasaan gembira itu hadir kerana tidak jangka akan dapat anugerah ini,” ujarnya.
Siapa sangka penerimaan Anugerah Canselor ini dapat mengeratkan jalinan bersama keluarga serta menjadi kebanggaan ibu bapanya.
Pelajar Bacelor Sains Bioperubatan dengan kepujian dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Chiew Jun Hao, 23, berkata perjalanan yang ditempuhi sepanjang lapan semester ini sangat bermakna demi mencapai impian.
“Saya juga bukan sahaja fokus kepada akademik tetapi saya juga aktif dalam aktiviti kemasyarakatan serta sukarelawan dalam industri.
“Pada pandangan saya, semua pelajar akan hadapi cabaran dan dugaan sepanjang perjalanan belajar mereka tetapi yakinlah dengan diri sendiri dalam menggapai impian,” katanya.
Dengan pengalamannya semasa latihan praktikal di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang dan Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta minat yang mendalam terhadap dermatologi kerana impiannya ingin membuka perniagaan dermatologi.
Beliau berkata, beliau memilih bidang ini kerana hasrat sendiri yang ingin memfokuskan penjagaan rawatan kulit serta membangunkan kaedah untuk memulihara kulit supaya sihat.
“Pengalaman saya semasa belajar di UPM, pensyarah saya banyak membantu serta memberi nasihat ketika saya menjalani latihan industri kerana bidang ini mempunyai pelbagai disiplin seperti biokimia dan mikrobiologi,” katanya.
Selain itu, Chiew juga aktif dalam pelbagai program bagi memperkukuhkan jaringannya dengan organisasi yang lain serta bertukar pendapat bagi mengumpul ilmu pengetahuan.
Menurut beliau, dia telah menyertai pelbagai aktiviti atau program peringkat antarabangsa dan kebangsaan yang membantu dirinya berjumpa dengan pelbagai orang bagi membincangkan idea serta menambah pengalaman.