Sekumpulan penyelidik Pusat Penyelidikan Rangkaian Wayarles dan Fotonik (WiPNET), Institut Perhutanan Tropika dan Produk Hutan (INTROP), Universiti Putra Malaysia (UPM) dan MIMOS Berhad melakar sejarah apabila berjaya membangunkan aplikasi Internet of Things (IoT) untuk mengembangkan sistem amaran awal untuk mengekang kebakaran di hutan tanah paya gambut, Hutan Simpan Raja Musa, Kuala Selangor.
Ketua kumpulan penyelidik, Prof. Ir. Dr. Aduwati Sali berkata penyelidikan itu adalah melalui projek Networked ASEAN Peatland Forest Communities (NAPC) yang bermula Ogos 2018.
“Projek pembangunan IoT ini dibiayai oleh National Institute of Information and Communication Technology (NICT), Jepun dan Virtual Organisation of ASEAN Institutes (ASEAN IVO) yang bertujuan membangunkan satu teknologi pemantauan berasaskan IoT untuk mencegah kebakaran hutan tanah gambut terutamanya pada musim kemarau,” katanya.
Katanya, aplikasi IoT itu diperlukan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk memberi amaran awal kerana tanah gambut akan menjadi kering jika tidak diurus secara sempurna dan boleh melibatkan kebakaran hutan yang luas.
“Kaedah penyelesaian ini mengumpul data masa nyata iaitu paras air bawah tanah, suhu sekitaran, kelembapan relatif dan intensiti cahaya yang dicerap melalui peranti yang dipasang di menara tinjau di Hutan Simpan Raja Musa ini,
“Data ini kemudian dihantar melalui rangkaian Low Range Wide Area Network (LoraWAN) ke rangkaian MIMOS Internet Services of Things (Mi-MIST). Dashboard ataupun papan pemuka kemudian akan memaparkan data di hutan ini, antaranya tahap air bawah tanah, tahap kelembapan tanah dan suhu dalam tanah, yang akan membantu renjer hutan serta komuniti memantau keselamatan hutan dari terbakar,” katanya.
Selain beliau, ahli lain dalam kumpulan penyelidik itu ialah Prof. Dr. Borhanuddin Mohd Ali, Prof. Ahmad Ainuddin Nuruddin, Prof. Ir. Dr. Hafizal Mohamad, Ir. Dr. Nordin Ramli, Prof. Madya Dr. Sharifah Mumtazah Syeed Ahmad Abdul Rahman, Dr. Sheriza Mohd Razali, Dr. Liew Jiun Terng, Dr. Nur Luqman Saleh dan Azizi Mohd Ali.
Kaedah penyelesaian ini mampu menjana maklumat dari data iklim untuk kegunaan pengurus hutan di dalam menyediakan sistem amaran awal di hutan tanah gambut. Pada masa yang sama ia memberi nilai tambah dalam meningkatkan produktiviti dan kualiti hidup komuniti setempat.
Projek berdaya maju itu juga boleh membantu kerajaan negeri mengurangkan jumlah kerugian sumber yang terpaksa digembleng untuk usaha pemadaman dan pada masa yang sama mengurangkan pencemaran udara seperti jerebu.
Penyelidik Kanan MIMOS Ir Dr. Nordin Ramli berkata untuk rancangan masa hadapan, sistem amaran IoT itu dijangka dapat membuat ramalan kebakaran hutan dengan lebih pantas berdasarkan pengumpulan data bersepadu dari tiga negara - Brunei, Indonesia dan Malaysia.
Katanya, MIMOS juga menyumbang kepakaran IoT melalui Pemantauan Berdasarkan Keadaan dan Analitik Ramalan.
Inovasi pencegahan kebakaran hutan itu memberi manfaat kepada masyarakat setempat dan seterusnya dapat diterapkan di kawasan tanah gambut lain di negara ini. - UPM