Oleh: Noor Eszereen Juferi
CYBERJAYA, 17 Januari - Universiti Putra Malaysia (UPM) menerima Anugerah Rakan Strategik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) daripada Menteri Komunikasi dan Digital, YB Fahmi Fadzil pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Klik Dengan Bijak (KDB) ke-10 di sini, hari ini.
Ketua Pustakawan UPM, En. Mahbob Yusof hadir menerima penganugerahan tersebut mewakili Naib Canselor UPM, YBhg. Dato’ Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman.
YB Fahmi dalam ucapannya berkata, keberkesanan perlaksanaan KDB dapat dilihat melalui kajian ‘Impak Keberkesanan KDB Kepada Peserta’ yang telah dilaksanakan oleh penyelidik dari UPM pada tahun 2022.
“Hasil kajian menunjukkan program KDB secara dasarnya berjaya memberi kesedaran mengenai keselamatan siber di kalangan responden kajian dan menunjukkan perubahan positif terhadap pengetahuan pengguna internet tentang pengurusan risiko dalam talian,” katanya.
Sebelum ini, Pensyarah Kanan, Jabatan Komunikasi, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi (FBMK), UPM, Prof. Madya Dr. Moniza Waheed telah melakukan penyelidikan ‘KDB: Safeguarding Youth in the Digital’ bagi menilai keberkesanan video KDB yang dihasilkan oleh MCMC. - UPM