SERDANG, 10 Jun - Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan langkah cemerlang dalam QS World University Rankings 2021 apabila berjaya berada pada kedudukan 132 universiti terbaik di dunia berbanding 159 pada tahun lepas.
Ini adalah peningkatan secara berterusan selama tujuh tahun berturut-turut, sekali gus membolehkan UPM mengekalkan kedudukan sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia.
Kejayaan ini turut menyaksikan prestasi UPM naik dalam hampir semua indikator yang dinilai dengan indikator pelajar antarabangsa meraih markah tertinggi.
Ini selari dengan usaha UPM dalam memperkukuhkan kerjasama antarabangsa melalui pelbagai program pengantarabangsaan.
Kejayaan yang cukup memberangsangkan ini adalah hasil kerjasama dan komitmen seluruh warga UPM yang beriltizam untuk meletakkan UPM pada kedudukan yang terbaik di dunia. Ini juga selari dengan visi UPM iaitu, menjadi sebuah universiti bereputasi antarabangsa.
Pencapaian ini bukan saja dapat membantu melonjakkan lagi tahap kecemerlangan UPM malah turut memberi sumbangan bermakna kepada kesejahteraan masyarakat dan kemajuan negara.
Pencapaian ini menaikkan lagi semangat warga UPM untuk terus mengorak langkah bagi mencapai aspirasi dan sasaran Putra Global 100 (PG100) iaitu menjadi 100 universiti terbaik di dunia dalam tempoh tiga tahun yang akan datang.Pelan Strategik 2021-2025 dan Pelan Transformasi Melangkaui 2025 yang sedang dirangka bakal menjadi platform penting yang akan meneruskan legasi kecemerlangan UPM di persada antarabangsa.
Sesungguhnya kejayaan ini meningkatkan lagi semangat UPM untuk terus berusaha memperbaiki kelemahan dan memperkasa kekuatan dengan mengambil pendekatan yang lebih strategik untuk melonjakkan lagi prestasi keseluruhan pada masa hadapan.
Kami akan terusmelaksanakan usaha berstruktur untuk menanda aras amalan dan prestasi kami dengan universiti terbaik dunia.
Keputusan yang diumumkan pada 10 Jun 2020 itu menyaksikan 1604 universiti antarabangsa dinilai namun hanya 1002 universiti dari 93 buah negara sahaja yang tersenarai.
Semua 20 Universiti Awam (UA) juga berjaya menempatkan diri dalam QS World University Rankings2021 ini. - UPM