Oleh: Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis
BANGI, 15 Feb- Institut Pertanian Tropika dan Sekuriti Makanan (ITAFOS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menganjurkan program Cakna Warga Emas: Dari Putra ke Bonda bagi berkongsi ilmu dalam bidang pertanian berasaskan penanaman hidroponik dan juga tanaman hiasan di Pusat Jagaan Dan Pendidikan Warga Emas Darul Insyirah, Seksyen 2, Bandar Baru Bangi, Selangor.
Ketua projek program Cakna Warga Emas: Dari Putra ke Bonda, Prof. Madya Dr. Ahmad Faizal Abdull Razis berkata, program ini dianjurkan untuk membantu warga emas di pusat jagaan ini melakukan aktiviti penanaman dengan kaedah yang betul dan juga mengisi masa lapang mereka dengan aktiviti yang berfaedah dan bermanfaat.
"Mereka telah mendapat ilmu dan tunjuk ajar secara terus tentang kaedah-kaedah penanaman pokok yang bersesuaian dengan persekitaran kawasan yang mereka diami.
"Disamping itu aktiviti yang dianjurkan bersama warga emas ini dapat memupuk mereka untuk menanam dan menjaga kesihatan sambil memenuhi masa lapang bersama-sama rakan mereka di pusat jagaan ini," katanya.
Seramai 35 orang pelajar Bacelor Sains Hortikultur dari Fakulti Pertanian, 6 ahli jawatankuasa induk dari ITAFoS dan Fakulti Pertanian, serta 25 peserta dari pusat jagaan ini terlibat pada program ini yang dianjurkan pada November tahun lepas.
Beliau berkata, pelaksanaan program memberi impak yang positif dalam kalangan warga emas di pusat jagaan tersebut tentang kepentingan pertanian dan tanaman holtikultur.
Tambahnya, bukan hanya warga emas yang mendapat ilmu malah para pelajar yang menyertai program ini turut dapat berkongsi ilmu pertanian dengan melakukan demonstrasi.
"Hal ini juga menyumbang kepada pembentukan sahsiah dan jati diri pelajar serta membuka peluang kepada mereka untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan masyarakat pada peringkat umur yang berbeza di dalam komuniti setempat," ujarnya.
Program ini merupakan salah satu projek di bawah geran “Knowledge Transfer Grant Scheme at PTJ” (KTGS@PTJ) bermula dari Februari 2023 hingga April 2024 yang bertujuan untuk memindahkan kepakaran universiti dan memberi manfaat kepada komuniti.