Oleh: Nazrul Rapail
SERDANG, 24 Nov - Universiti Putra Malaysia (UPM) komited untuk terus meningkatkan prestasi sebagai peneraju Kampus Hijau di negara ini, kata Naib Canselornya, Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman.
Sehubungan itu, katanya, UPM akan terus menyokong agenda Sustainable Development Goals (SDGs) dengan kerjasama yang optimum daripada semua warga kampus.
Kejayaan UPM berada pada ranking ke-28 dalam UI-GreenMetric World University Rankings pada 2021 dan 2022, ranking ketiga di Asia dan ranking pertama di Malaysia adalah selaras dengan aspirasi United Nations Conference on Sustainable Development (UNSCD) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang berhasrat menamatkan jurang kemiskinan dan melindungi bumi serta memastikan pada 2030 semua orang dapat menikmati keamanan dan kemakmuran menerusi agenda SDGs.
Prof. Dr. Mohd Roslan Sulaiman berkata matlamat SDGs oleh PBB itu adalah berdasarkan tiga prinsip utama untuk mencapai tadbir urus yang baik, iaitu keberkesanan, akauntabiliti dan keterangkuman.
Katanya, keberkesanan dalam pentadbiran diukur melalui pencapaian yang diraih dalam sesebuah organisasi dan menimbulkan kesejahteraan kepada kakitangan dan pemegang taruh.
“Kesejahteraan yang dinikmati membawa kepada persekitaran yang positif dan harmoni seterusnya membantu meningkatkan kualiti dalam pekerjaan, perkhidmatan dan pendidikan,” katanya.
Beliau berkata, akauntabiliti pula memfokuskan sikap tanggungjawab individu terhadap organisasi yang melibatkan nilai amanah dan integriti, manakala keterangkuman penting dalam penyatuan komuniti kerana tiada siapa akan terpinggir disebabkan oleh perbezaan jantina mahupun status.
Katanya, agenda SDGs bersifat menyeluruh kerana ia memberi penekanan kepada banyak cabang termasuk pertumbuhan ekonomi, perkembangan sosial dan perlindungan terhadap alam sekitar. - UPM