Oleh Dr. Daljit Singh
PUCHONG – Fakulti Pertanian, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Cempaka International School Damansara dengan kerjasama Nature Educational Society (NEST) mengadakan program pendidikan alam sekitar – Responsible Earth Citizenship Programme (REACH) – bertujuan memupuk kesedaran mengenai pentingnya kelestarian alam sekitar untuk pembangunan manusia yang sihat dan sejahtera.
Program REACH itu melibatkan tujuh modul, dengan modul The Living Soil, Air that We Breathe, Flora dan the Life’s Factory dibentuk dan diselia oleh pensyarah UPM, Datin Dr. Rosenani Abu Bakar, Dr. Daljit Singh dan Dr. Zulfa Hanan Ash’aari.
Pengarah program REACH, Noorliza Abu Bakar berkata penganjuran program itu adalah hasil idea pengasas Cempaka, Dato’ Freida Pilus yang mahu pelajar mereka mengetahui nilai estetika alam sekitar termasuk menimba pengalaman dalam melakukan kerja-kerja lapangan untuk mengukur keadaan kualiti tanah, air, ekologi, pengurusan sisa buangan dan kitar semula.
“Adalah penting bagi peserta REACH memahami visi utama program ini untuk mendedahkan mereka kepada aktiviti luar kelas seperti pengecaman spesis burung, penjagaan tanaman dan kitar semula bagi menyumbang kepada kelestarian alam sekitar,” katanya.
Beliau berkata peserta juga dapat mempelajari kaedah mengurangkan pencemaran dan pembuangan sampah, serta menjimatkan kos.
“Penilaian kursus ini diadakan melalui perbincangan dalam kelas, diikuti dengan aktiviti di lapangan di Hutan Simpan Ayer Hitam Puchong,” katanya.
Melalui aktiviti yang dijalankan di hutan simpan itu, pelajar dapat melihat spesies pokok serta tumbuhan yang terdapat di situ dan berfikir mengenai perlunya mengekalkan hutan berkenaan yang berada di tengah-tengah kawasan yang pesat membangun.
Fasilitator UPM, Dr. Daljit Singh pula berkata inti pati pengisian modul oleh pihaknya tertumpu kepada servis yang diberi oleh bidang pertanian dan perhutanan kepada manusia.
“Aktiviti trekking bukan sahaja untuk mendedahkan peserta kepada keunikan struktur hutan, malah mereka diajar kaedah menggunakan peralatan pengukuran pokok, keamatan cahaya dan kelembapan bandingan yang sering diguna pakai oleh renjer hutan,” katanya.
Peserta juga digalakkan menggunakan aplikasi yang berkaitan melalui telefon pintar yang menunjukkan bahawa kepesatan teknologi boleh diasimilasi untuk memudahkan kerja-kerja harian.
NEST mempunyai pelbagai program berkonsepkan alam sekitar yang sesuai dengan kehendak masyarakat seperti REACH. Satu lagi program yang berjaya dijalankan ialah bancian spesis burung di taman sekitar Putrajaya, yang dilaksanakan oleh NEST bersama Perbadanan Putrajaya. - UPM